• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Ambil Ujian RBPT Sebelum Pindahkan Ternakan

SETIU, 7 Februari - Pemilik haiwan disaran melakukan pengambilan sampel darah ternakan untuk ujian ‘Rose Bengal Plate Test (RBPT) sebelum memindahkan ternakan masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, pemindahan ternakan dalam Terengganu termaktub dengan perundangan Warta Kerajaan Negeri Terengganu T.r.P.U 10 dan T.r.P.U 4 iaitu Perintah Kawalan Penyakit Kuku Dan Mulut dan Hawar Berdarah (HS) yang  berkuatkuasa sejak tahun 2006.

"Perintah ini dibuat di bawah Seksyen 36 Akta Binatang 1953. Sebelum sesuatu peraturan dikuatkuasakan, ruang perbincangan telah dan akan terus dibuka seluasnya untuk mewujudkan situasi menang-menang. Peranan kerajaan ialah untuk menjaga kepentingan semua pihak.’

"Selain daripada untuk menjamin daging ternakan yang disembelih selamat dimakan oleh manusia, ternakan yang akan dipindahkan juga perlu dipastikan sihat agar tidak berlaku pembawaan wabak penyakit seperti FMD, Brucellosis dan Hawar Berdarah ke kawasan lain ekoran pemindahan yang berlaku," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Dr Azman, beliau menerima banyak sungutan dan bantahan daripada penternak serta pemborong haiwan ternakan berkaitan cadangan untuk menguatkuasakan pengambilan sampel darah ternakan.

Katanya, kerajaan negeri telah dipersalahkan kerana kononnya telah mewujudkan 'budaya' baru yang menyusahkan penternak sedangkan peraturan tersebut telah ada sebelum ini.

"Peraturan ini sebenarnya sudah lama wujud. Dalam konteks Terengganu, pengambilan sampel darah bagi ujian RBPT tidak dipraktikkan dalam kes pemindahan antara daerah dalam negeri tapi telah dikuatkuasakan untuk pemindahan ternakan antara negeri. Negeri-negeri lain sudah lama menguatkuasakan ujian RBPT bagi pemindahan ternakan antara daerah.

"‘Brucellosis’ adalah penyakit zoonosis iaitu penyakit haiwan yang boleh menjangkiti manusia. Kerana itu adalah sangat mustahak untuk memastikan bahawa haiwan ternakan yang dipelihara dan disembelih bebas dari Brucellosis melalui pengambilan sampel darah untuk ujian RBPT,’’ Jelasnya lagi.

Sementara itu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar sedang mengkaji daripada pelbagai aspek untuk menguatkuasakan ‘Standard Operating Procedur’ (SOP) bagi ujian RBPT terbabit.

"Kajian dijalankan dengan mengambil kira semua kepentingan samada penternak dan rakyat sebagai pengguna. Setakat ini ia belum dikuatkuasakan lagi,

"Untuk info, ujian sampel darah RBPT ini adalah percuma, boleh dibuat di lapangan dengan keputusan serta merta," katanya