KEMAMAN, 20 Disember – Kejayaan membanggakan dicatatkan oleh atlet pentanque anak jati Terengganu apabila berjaya mengharumkan nama negara di pentas Sukan SEA Thailand 2025 menerusi pencapaian dua pingat gangsa dalam acara yang dipertandingkan.
Kejayaan tersebut diraih oleh dua beradik dari Kampung Sura Jeti, Dungun iaitu Sharifah Afiqah Farzana Syed Ali dan Syed Afiq Fakhri Syed Ali, masing-masing menyumbang pingat gangsa dalam acara ‘mix double’ dan ‘triple lelaki’.
Sharifah Afiqah Farzana melahirkan rasa syukur atas kejayaan memenangi pingat gangsa walaupun mengakui sedikit terkilan kerana sekali lagi meraih pingat sama seperti pencapaian di Sukan SEA 2022.
“Pada tahun ini, saingan amat sengit dengan cabaran besar termasuk tempoh latihan yang terhad serta kekangan masa persediaan.
“Alhamdulillah, saya tetap bersyukur dapat menyumbang pingat untuk negara. Walaupun persiapan tidak begitu sempurna, kami berjuang sehabis baik,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Pertandingan Pentanque Daerah di Pantai Penunjuk Kijal, semalam.

Sementara itu, Syed Afiq Fakhri menyifatkan kejayaan tersebut amat bermakna buat dirinya selepas tidak terpilih mewakili negara pada Sukan SEA 2023.
"Alhamdulillah, pada tahun ini saya bersyukur kerana terpilih dan kembali menyarung jersi negara.
“Usaha kami membuahkan hasil setelah pulang membawa pingat gangsa ke bumi Terengganu,” ujarnya.
Seorang lagi adik-beradik mereka, Sharifah Aqilah Farhana Syed Ali, walaupun tidak berjaya menyumbang pingat kali ini, tetap beraksi dengan penuh semangat.
“Saya mengakui sedikit kecewa namun menerima keputusan tersebut dengan hati terbuka dan menyifatkannya sebagai bukan rezeki.
“Saya sudah berikan sepenuh tenaga di gelanggang. Walaupun kalah, saya reda dan akan terus berusaha,” katanya yang sebelum ini pernah meraih pingat emas dalam kejohanan dunia serta Sukan SEA 2023 di Kemboja.
Kejayaan keluarga ini tidak terlepas daripada didikan awal dalam sukan pentanque sejak kecil oleh bapa mereka yang juga jurulatih kebangsaan, Syed Ali Syed Aqil, berusia 53 tahun.
Pencapaian ini sekali gus membuktikan bakat besar atlet pentanque dari Terengganu dan diharap menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk terus bergiat aktif dalam sukan berkenaan.
