• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Anak Muda Mesti Bijak Memilih

Dr Alias Razak ceria bersama anak muda yang hadir ke program tersebut.

Oleh: Safwan Syakir

KUALA NERUS - Anak-anak muda perlu bijak memilih aktiviti untuk memenuhi masa lapang agar tidak ‘terjebak’ dengan kegiatan negatif.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, menceburi seni silat adalah sangat digalakkan.

"Di negeri Terengganu khususnya, banyak masalah termasuk penagihan dadah, rempit, masalah sosial dan sebagainya.

"Anak muda harus bijak memilih aktiviti untuk mengisi masa dengan sebaiknya supaya hasrat kerajaan untuk membangunkan minda dan mentaliti rakyat tercapai,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Badan Bukan kerajaan (NGO) Persatuan Seni Silat Gerak Al-Haq Malaysia, Cawangan Paya Lima Amas  di sini, Khamis 16 Ogos.

Seramai kira-kira 100 penduduk setempat menghadiri Majlis Perasmian Badan Bukan kerajaan (NGO) Persatuan Seni Silat Gerak Al-Haq Malaysia, Cawangan Paya Lima Amas Terengganu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal itu juga menyentuh tentang bidang tugas beliau dalam kerajaan, yang membabitkan perlaksanaan manifesto pilihan raya PAS pada PRU-14.

"Kerajaan negeri telah bersetuju mewujudkan kad sejahtera kepada golongan yang layak untuk menerima insentif ini.

"Usaha kini giat dijalankan bagi mengenal pasti golongan sasaran. Kad ini boleh digunakan di klinik swasta yang dipilih oleh kerajaan.

"Berkenaan permohonan rumah mampu milik, semua rakyat Negeri Terengganu yang layak boleh memohon secara online menerusi laman web http://eperumahan.terengganu.gov.my.

"Keputusan permohonan tersebut akan melalui beberapa proses penapisan sebelum dimuktamadkan," jelas beliau.

Sementara itu, Presiden Persatuan Seni Silat Gerak Al-Haq Malaysia, Cawangan Paya Lima Amas Terengganu, Zamri Ismail berkata, persatuan itu membuka keahlian kepada umum dan mana-mana cawangan lain yang berminat untuk menyertainya.




Tag: