Berita :
Anak Perantau Pengkalan Berangan Berkumpul Sempena Aidilfitri
Anak Perantau Pengkalan Berangan Berkumpul Sempena Aidilfitri
Abdul Fattah Kamarudin
11 jam yang lepas
134

KUALA TERENGGANU, 26 Mac – Kegembiraan jelas terpancar di wajah para perantau apabila mereka berpeluang berkumpul dan mengisi masa bersama rakan sekampung dalam program Boling Perantau DUN Pengkalan Berangan yang berlangsung di Terengganu Equestrian Resort (TER), malam semalam.

Program yang menghimpunkan kira-kira 50 peserta dari luar Terengganu itu dianjurkan khas bagi meraikan anak-anak perantau DUN Pengkalan Berangan yang pulang bercuti ke kampung halaman sempena Aidilfitri.

Bagi Syakila Manaf, 33, yang berasal dari Kubang Palas dan telah 10 tahun menetap di Shah Alam berkata, peluang menyertai program seperti ini amat bermakna buat mereka yang berada jauh dari negeri sendiri.

“Kita di perantauan ni memang rasa hati sangat dekat dengan negeri kita, memang nak sangat balik. Jadi bila sampai di sini, rasa sangat gembira,” katanya.

Menurutnya lagi, program seperti ini memberi ruang kepada perantau untuk mengisi masa lapang dengan aktiviti yang bermanfaat bersama rakan-rakan lama.

“Bila ada program macam ni, kami yang merantau ni sangat berterima kasih. Sekurang-kurangnya ada aktiviti untuk berkumpul dan tidak membuang masa,” katanya sambil berharap lebih banyak program seumpamanya dapat dianjurkan pada masa akan datang.

Seorang lagi peserta, Nur Aqilah dari Jerung Surau yang telah lebih dua dekad menetap di Selangor berkata, walaupun sudah lama berada di perantauan sehingga loghat Terengganu yang dituturkannya semakin jarang kedengaran, hatinya tetap dekat dengan negeri kelahiran.

“Dah lama duduk sana, loghat Terengganu pun dah tak berapa keluar,” katanya sambil tersenyum.

Namun menurutnya, Terengganu tetap menjadi tempat yang ingin didiami pada masa hadapan, terutama selepas ibunya bersara.

“Saya memang ada perancangan nak balik duduk di Terengganu nanti, selepas ibu pencen,” katanya.

Katanya lagi, kepulangan ke kampung halaman bukan sahaja untuk menziarahi saudara-mara, malah peluang menyertai aktiviti seperti ini menjadikan cuti di kampung lebih bermakna.

“Balik sini jalan-jalan, ziarah saudara-mara dan malam ni dapat main boling. Terima kasih YB sebab bagi peluang kami sertai aktiviti ni,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong berkata penganjuran program berkenaan merupakan tanda kecaknaan terhadap rakyat di kawasan N20, termasuk mereka yang berada di perantauan.

Menurutnya, walaupun berada jauh dari kampung halaman, hubungan dengan anak-anak Pengkalan Berangan tetap perlu dipelihara.

“Program seperti ini memberi ruang kepada perantau untuk berkumpul, mengeratkan semula hubungan serta merasai bahawa mereka tetap dihargai walaupun berada jauh di negeri orang,” katanya.



Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan