Berita :
Anak Terengganu Derma Organ Selamatkan Nyawa Insan Lain
Anak Terengganu Derma Organ Selamatkan Nyawa Insan Lain
Adli Mohamad
1 jam yang lepas
63

KUALA TERENGGANU, 22 April – Awal tahun 2026 menyaksikan satu peristiwa yang amat menyentuh hati apabila satu kes pendermaan organ dan tisu berjaya disempurnakan, sekali gus memberi harapan baharu kepada pesakit yang memerlukan. Setakat Mac tahun ini, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) merekodkan tiga kes pendermaan organ dan tisu yang berjaya dilaksanakan. 

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, selepas kes pertama pada awal tahun ini, dua lagi pendermaan organ dan tisu berjaya direkodkan masing-masing pada Februari dan Mac.

Katanya, perkembangan itu membawa sinar harapan serta peluang kehidupan baharu kepada pesakit yang memerlukan, di samping memperlihatkan nilai kemanusiaan yang tinggi dalam kalangan masyarakat.

“Tindakan murni ini mencerminkan sifat rakyat yang prihatin, berhati luhur serta menjunjung tinggi nilai kemanusiaan dan kasih sayang sesama insan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan usul menjunjung kasih titah ucapan KDYMM Pemangku Raja Terengganu pada Mesyuarat Penggal Keempat, Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15, di Wisma Darul Iman, di sini.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu atas usaha berterusan memperkasa program pendermaan organ di negeri ini.

Menurutnya, komitmen berkenaan termasuk pendekatan berhemah terhadap keluarga penderma serta pengurusan yang profesional dan berintegriti sepanjang proses itu dilaksanakan.

“Sesungguhnya peristiwa ini menjadi contoh teladan dan pemangkin kepada usaha menggalakkan lebih ramai tampil berikrar sebagai penderma organ demi kesejahteraan ummah,” katanya.



Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan