Berita :
Anak Yatim Golongan Istimewa di Hati Rasulullah
Anak Yatim Golongan Istimewa di Hati Rasulullah
Muhamad Fazlee Aziz
1 jam yang lepas
22

Oleh : Nurul Natasha Surin

MARANG, 15 Mac - Golongan anak yatim mempunyai kedudukan yang sangat istimewa dalam Islam dan menjadi antara insan yang paling dekat di hati Nabi Muhammad SAW, kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Negeri Terengganu merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepuh, Hishamuddin Abdul Karim.

Beliau berkata, Rasulullah SAW sendiri menjanjikan kedudukan yang sangat istimewa buat mereka yang menjaga dan memelihara anak yatim.

“Rasulullah SAW bersabda bahawa Baginda dan orang yang memelihara anak yatim di syurga seperti dua jari ini (sambil ditunjukkan jari tengah dan telunjuk yang dirapatkan). Ini menunjukkan betapa besarnya kedudukan mereka yang menyantuni golongan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa anjuran Majlis Belia Negeri Terengganu bersama penghuni Asrama Anak Yatim Darul Falah di Kampung Padang Paksu Man, Bukit Payong di sini, semalam.

Menurutnya, anak-anak yatim tidak seharusnya berasa rendah diri atau putus asa kerana kehilangan ibu bapa merupakan sebahagian daripada ketentuan dan ujian yang ditetapkan oleh Allah SWT.

“Setiap perkara yang dimiliki manusia di dunia ini hanyalah pinjaman sementara daripada Allah SWT termasuk ibu bapa, keluarga, harta dan tempat tinggal.

“Apabila Allah menarik kembali pinjaman tersebut, ia adalah ketentuanNya. Namun masyarakat sentiasa ada untuk menyokong dan membantu anak-anak yatim agar mereka terus membesar dengan kasih sayang dan perhatian,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan anak-anak di asrama tersebut agar terus berusaha menuntut ilmu dengan bersungguh-sungguh kerana ilmu dan amal soleh merupakan bekalan paling berharga dalam kehidupan.

“Generasi muda yang mendapat pendidikan dan peluang yang baik pada masa hadapan berpotensi untuk kembali menyumbang kepada masyarakat serta membantu generasi selepas mereka,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak termasuk pengurusan asrama dan Majlis Belia Negeri Terengganu yang sentiasa menganjurkan program kebajikan serta memberi perhatian kepada kebajikan anak-anak yatim di negeri ini.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan