• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Anda Diperhati, Amaran Keras Kepada Pelaku Maksiat!

Oleh : Aslam Wira

KUALA TERENGGANU, 11 Julai - Individu yang mempunyai niat untuk melakukan maksiat di bumi Terengganu termasuk di sekitar jambatan angkat di sini disaran supaya membatalkan hasrat tersebut.

Ketua Pertubuhan Amar Maaruf Nahi Mungkar Marang (Skuad AMAR), Nasaruddin Samsudeng menegaskan, pihaknya akan sentiasa mengadakan operasi pencegahan bagi mengekang aktiviti tidak bermoral terus berleluasa.

Katanya, dalam operasi di Drawbridge semalam, 15 pasangan telah diberikan amaran keras manakala satu pasangan ditahan dan dibawa ke Pejabat Agama Daerah Kuala Terengganu.

"Pasangan yang dibawa ke Pejabat Agama Kuala Terengganu itu akan disiasat untuk kesalahan di bawah seksyen 36, Mewatie, enakmen kesalahan jenayah syariah (Takzir) (Terengganu) 2001.

"Jika disabitkan kesalahan, mereka akan didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas operasi berkenaan.

Menurut beliau, pemantauan itu tertumpu di beberapa lokasi mencurigakan, kawasan gelap dan mereka yang berdua-duaan di dalam kereta atau sebagainya.

"Skuad Amar juga akan membuat cegahan secara berterusan, malah bunting-bunting penerangan tentang kesalahan jenayah syariah serta perbuatan tidak sopan di tempat awam turut digantung di setiap lokasi tertentu," ujarnya.

Katanya lagi, ibu bapa atau penjaga perlu sentiasa memantau anak-anak terutamanya anak perempuan lebih-lebih lagi pada waktu malam

"Jangan sampai mereka terikut-ikut dengan hawa nafsu, dan terjerumus dalam pemikiran yang menyebabkan mereka terlanjur atau mendekatkan diri ke arah pengzinaan," jelasnya.

Operasi yang bermula 8.00 malam itu mendapat kerjasama penuh daripada Pegawai Penguatkuasa Syariah serta Sukarelawan Amar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus dengan penglibatan seramai hampir 60 orang.

Terdahulu, pada 8 Julai, Pejabat Agama Daerah Kuala Terengganu memaklumkan penubuhan skuad khas bagi memantau setiap kelakuan pengunjung di sekitar jambatan angkat bagi mengelakkan kejadian tidak bermoral berlaku