• 05 Mei 2024 | 26 Syawal 1445

Anggota Tentera Maut Kemalangan Di LPT2

Keadaan kereta yang mengorbankan seorang tentera di LPT2  pagi semalam
HULU TERENGGANU - Seorang anggota tentera maut, manakala rakan sejawatannya parah selepas kereta yang mereka naiki terbabas dalam kemalangan di Kilometer 409.7 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), dari Kuala Terengganu ke Bukit Besi sebelum susur Ajil, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.55 pagi itu, mangsa, Nur Shahrul Romli, 21, maut di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan parah selepas tersepit di bawah kenderaannya yang terbabas ke dalam longkang.

Mangsa yang menaiki kereta Proton Waja itu dipercayai terbabas sebelum terperosok ke dalam longkang sedalam tiga kaki ketika cuba mengelak seekor kerbau yang berhenti di tengah jalan.

Empat rakannya iaitu Mohd. Fazrin Mohd. Aini, 23, Muhammad Aiman Abd. Wahab, 21, Wan Muhammad Firdaus Wan Yahya, 21 dan Muhamad Hasnu Nawawi, 23, yang juga anggota tentera pula mengalami kecederaan.


Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Asisten Suprintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, sewaktu kejadian, kesemua lima mangsa yang menaiki kereta Proton Waja dan empat rakan mereka menaiki sebuah Perodua Viva di hadapan dalam perjalanan pulang ke Kem Syed Sirajuddin, Gemas selepas bercuti di Kota Bharu, Kelantan.

"Sewaktu tiba di lokasi kejadian, kereta Proton Waja dipandu Nur Shahrul cuba mengelak seekor kerbau yang berada di hadapannya sebelum hilang kawalan dan terbabas.

"Kereta itu telah memasuki parit di tepi lebuh raya yang  setinggi kira-kira  0.91 meter sehingga  remuk teruk," katanya.

Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk pemeriksaan lanjut manakala mangsa yang cedera telah dibawa ke Unit Kecemasan Hospital yang sama untuk rawatan.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Tag: