• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Angka COVID-19 Bukan Rekaan, Keadaan Makin Teruk

KUALA TERENGGANU, 27 Mei - Jumlah harian individu dijangkiti COVID-19 di seluruh negara dan negeri adalah benar dan bukan rekaan yang dibuat untuk menafikan pergerakan rakyat.

Pakar Perubatan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Dr Nurul Asyikin Adnan berkata, masih ada golongan tertentu yang menganggap angka daripada Kementerian Kesihatan Malaysia adalah palsu.

Katanya, tidak cukup dengan itu. KKM dan petugas kesihatan dicemuh saban hari oleh sebahagian kecil masyarakat kerana mereka percaya COVID-19 tidak wujud.

"Kita sering mendengar orang kata KKM menipu, netizen suka sangat mengambil maklumat yang tidak sahih, kenapa kami perlu menipu data, tidak ada manfaat dan kelebihan pun jika kami berbuat demikian.

"Kalau tanya kepada saya keadaan di wad, saya boleh ceritakan katil yang kita ada sekarang ini sangat terhad, kebanyakan pesakit telah berada dalam kategori tiga dan empat, dan akhirnya jadi kategori lima.

"Memang boleh saya katakan agak mencabar, memberi rawatan kepada mereka yang positif untuk gelombang sekarang ini berikutan varian yang agak agresif," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di HSNZ baru-baru ini.

Mengulas lanjut Dr Nurul Asyikin berkata, pihaknya mempunyai bukti bahawa mereka yang harus berada di wad kerana memerlukan oksigen semakin bertambah.

"Pada awalnya ada dua wad sekarang ini telah bertambah kepada lima, 95 peratus sangat memerlukan bantuan oksigen kerana itu ditempatkan di hospital bagi mendapat rawatan lanjut.

"Kalau kita tengok dokumentari pesakit dari India, mereka memerlukan oksigen dengan banyak kerana kapasiti oksigen dalam badan sangat rendah.

"Tapi kita berharap agar kita tidak sampai lagi ke tahap terdesak sebagaimana yang dipaparkan itu, kami harap tidak seteruk itu dan masih akan cuba semampu mungkin memberikan yang terbaik untuk pesakit," ujarnya.

Menjawab mengenai penularan kes dengan begitu cepat disebabkan varian dari India dan Afrika di negeri ini, katanya ia masih lagi dalam peringkat kajian.

"Pada kesempatan ini saya juga menyeru kepada orang ramai yang mana masih belum mendaftar vaksin tolong mendaftar untuk mendapatkannya.

"Kami lihat varian ini dah semkain ganas dan mula menjelajah kepada negara kita walaupun sudah mendapat dua dos vaksin masih berisiko, namun yang sudah mendapatkannya keadaan mereka cepat stabil dan hanya bergejala sedikit sahaja," ujarnya.


Tag: