• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

'Anthony Ke Terengganu, Undi BN Dapat DAP' - PAS

KUALA TERENGGANU, 3 Ogos - Kehadiran Setiausaha Agong DAP, Anthony Loke ke Terengganu bagi program ramah mesra pada hari ini membuktikan undi BN dapat DAP.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Dr Alias Razak berkata, tidak pemimpin BN sepatutnya marah kerana itu merupakan hakikat yang perlu diterima berdasarkan kerjasama politik yang berlaku antara PH-BN sekarang.

"Saya nak ucapkan selamat datang kepada Anthony Loke ke Terengganu Darul Iman. 

"Saya lihat pemimpin dan calon-calon UMNO/BN begitu gembira dan teruja sekali untuk menyambut kedatangan pemimpin utama DAP ini sehingga banyak sekali banner yang dipasang di seluruh Bandar Kuala Terengganu," ujarnya.

Beliau berkata demikian, semasa sidang medianya di Pusat Media PAS, di sini, hari ini.

Ujar Dr Alias, sebagaimana diketahui umum DAP merupakan parti tunggal dalam gabungan PH-BN yang mempunyai kerusi terbanyak.

"Barangkali kerana itulah pemimpin UMNO begitu ghairah menyambut beliau.

"Kehadiran beliau ke Terengganu sekali gus mengiyakan (membenarkan) dan memudahkan penjelasan kita tentang undi BN dapat DAP," ujarnya lagi.