• 23 Apr 2024 | 14 Syawal 1445

Asing Penonton Pawagam Untuk Mendidik - MB Terengganu

KUALA TERENGGANU, 7 Julai - Pengasingan penonton lelaki dan wanita bukan mahram di pawagam Terengganu lebih kepada proses mendidik masyarakat bukan bertujuan untuk menghukum.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pelaksanaan zon pengasingan yang dibahagikan kepada lelaki, wanita dan keluarga di Terengganu mulai 4 Julai adalah bertepatan.

Katanya, ia selaras dengan garis panduan hiburan yang dikeluarkan Kerajaan Terengganu sebelum ini.

“Pelaksanaan peraturan ini lebih kepada proses mendidik masyarakat terutama kepada mereka yang belum berkahwin untuk mengamalkan apa yang disyariatkan Islam dalam apa jua urusan.

“Sekiranya ada yang melanggar peraturan atau garis panduan ini, kita tidak terus hukum sebaliknya akan menasihati mereka.

“Bagi yang telah berkahwin dan berkeluarga tidak ada masalah untuk duduk bersama ketika menonton wayang,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Apresiasi Penerima Skim Pelajar Terengganu 2020 di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri tetap meneruskan pengasingan tempat duduk bagi penonton bukan mahram di Terengganu walaupun mendapat kritikan daripada segelintir pihak.

“Terima kasih atas suara dan kecaknaan terhadap Kerajaan Terengganu. Mereka boleh bercakap atau mengkritik sebab itu adalah hak mereka dalam perlembagaan.

“Bagi saya segelintir pihak yang memberikan pandangan berbeza berkenaan pelaksanaan peraturan baharu ini tidak mendapat maklumat lengkap mengenai pelaksanaannya di mana ia memisahkan antara penonton lelaki dan wanita bukan mahram atau belum berkahwin. Yang mempunyai ikatan sah tiada masalah," katanya.


Tag: