• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Asrama Atlet Terengganu Siap 93 Peratus

KUALA NERUS, 11 November- Pembinaan Asrama Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) bertempat di Gong Badak, di sini yang  menelan kos RM90 juta kini mencapai kemajuan kerja 93 peratus.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah, berkata bangunan setinggi tujuh  tingkat itu dijangka siap sepenuhnya pada April tahun depan.

Katanya, asrama itu lengkap dengan pelbagai kemudahan antaranya gimnasium, kafeteria, kolam renang, bilik taklimat, ruang solat  dan dewan utama  yang ,ampu menempatkan lebih 600 orang.

“Saya percaya dengan kemudahan yang disediakan, ia dapat memudahkan  atlet pada masa hadapan, baik dari segi penginapan yang selesa, kemudahan untuk ke tempat latihan dan juga dapat mengekalkan prestasi yang terbaik,”katanya selepas mengadakan lawatan ke tapak pembinaan asrama itu, hari ini.

Menurutnya, bangunan asrama dua blok itu akan dibahagi dua di mana penggunaan atlet semasa hanya melibatkan satu blok sahaja manakala lebihan satu blok lagi akan dibuka kepada orang awam untuk tujuan sewaan penginapan.

“Apabila siap kelak, kerajaan negeri akan memutuskan hak pengurusan sama ada di bawah  MSNT  atau melantik mana-mana syarikat  swasta yang bertauliah bagi menguruskan asrama ini dengan kaedah perkongsian penggunaan.

“Nama khas bagi bangunan ini akan ditetapkan kemudian bertujuan menarik minat pelancongan untuk menyewa,”katanya..
 

 


Tag: