Berita :
Atie Sokme Juarai Pertandingan Masakan Tradisional
Atie Sokme Juarai Pertandingan Masakan Tradisional
Rohayati Ripin
06 Apr 26
50

KUALA NERUS, 5 April– Aroma santan dan manis ubi yang dikacau hampir dua jam akhirnya membuahkan hasil apabila kuih tradisional Terengganu (Atie Sokme) dinobat juara pertandingan masakan tradisional sempena Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali Ke-5 dan Himpunan Alam Melayu 2026.

Bagi pemenangnya, Napisah Harun, 62, kemenangan itu bukan sekadar pengiktirafan tetapi mengangkat kembali warisan lama yang hampir dilupakan dan simbol kenangan zaman kecil yang dihidupkan semula melalui air tangan sendiri.

“Alhamdulillah, menu berasaskan ubi ini memang kegemaran ibu-ibu masa lampau. Dulu waktu kecil, inilah antara makanan kami,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pentandingan tersebut di Perkarangan Kompleks Sukan Negeri, di sini, baru-baru ini.

Menurut beliau, penyediaan koleh keledek itu bukan sekadar memasak, tetapi memerlukan kesabaran dan ketelitian tinggi. 

"Ubi perlu direbus, dilecek hingga lembut sebelum dimasak bersama santan, telur dan gula.

“Proses kacau itu ambil masa hampir dua jam sampai ia naik minyak. Sebab itu kuih ini boleh tahan hingga enam hari dan tidak mudah basi,” katanya.

Tambah Napisah, pemilihan ubi juga memainkan peranan penting bagi memastikan kualiti terbaik.

“Kita kena pilih ubi yang betul-betul elok, tidak masuk angin. Kalau tersalah pilih, memang akan jejaskan rasa dan tekstur,” ujarnya.

Walaupun berpengalaman menyertai pelbagai pertandingan memasak sebelum ini, beliau mengakui ini adalah kali pertama mencuba kategori koleh ubi.

“Saya hanya sasarkan untuk menang, tapi tidak sangka jadi juara. Persaingan memang luar biasa,” katanya.

Sementara itu, juri pertandingan Chef De berkata, program berteraskan nusantara seharusnya dilihat lebih luas, bukan sekadar terhad kepada negara seperti Indonesia, Thailand dan Malaysia.

“Kita sebenarnya berkongsi akar sejarah yang sama sejak zaman Langkasuka. Banyak makanan tradisional ini merentas sempadan, termasuk kuih-kuih dari selatan Thailand yang juga boleh ditemui di Terengganu,” katanya.

Beliau menambah, usaha mencari dan mengangkat semula kuih tradisional yang hampir pupus perlu diteruskan bagi memastikan warisan tersebut tidak hilang ditelan zaman.

“Saya memang mencari resipi yang ‘rare’, yang generasi hari ini sudah jarang jumpa.

"Ini penting untuk kita wariskan kepada generasi akan datang,” jelasnya.

Menurutnya lagi, kreativiti dalam masakan tradisional tidak hanya tertumpu kepada kuih semata-mata, malah turut melibatkan variasi hidangan sampingan berasaskan bahan yang sama.

Kemenangan Kuih Atie Sokme bukan sekadar kejayaan dalam pertandingan, tetapi menjadi bukti bahawa khazanah lama masih mampu menawan selera masa kini jika diberi ruang untuk terus hidup.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan