• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Azizulhasni dan Siti Rahmah Dinobat Olahragawan, Olahragawati Terengganu

Ahmad Razif (tengah) bersama pemenang Anugerah Sukan Negeri Terengganu 2015/2016 di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri, malam tadi. Foto Oleh: Zulkifli C.W. Putra

Pelumba trek kebangsaan Mohd Azizulhasni Awang dan jaguh silat negara Siti Rahmah Mohamed Nasir dinobat sebagai Olahragawan dan Olahragawati Terengganu 2015/2016 dalam majlis Anugerah Sukan Ne­geri Terengganu di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri Gong Badak, Kuala Nerus, malam tadi.

Kejayaan itu membolehkan Azizulhasni dan Siti Rahmah membawa pulang wang tunai RM7,000 beserta piala pusingan, piala iringan serta sijil kepujian. Persatuan yang mereka naungi pula masing-masing menerima RM2,000.

Azizulhasni,29, yang memenangi gelaran itu buat lima kali berturut-turut diwakili ibunya Selamiah Yong, kerana sedang menjalani latihan di Australia sementara Siti Rahmah, 30,  hadir menerima anugerah yang disampaikan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

Kejayaan Azizulhasni yang menggondol pingat gangsa acara Keirin dalam temasya Sukan Olimpik Rio 2016 iaitu pencapaian anak Terengganu pertama memperoleh pingat dalam sukan Olimpik, dan pingat gangsa (keirin) kejohanan World Championship (Yvelines) melayakkan beliau mendapat pengiktirafan tertinggi tersebut.

Altet kelahiran Dungun itu menewaskan calon lain termasuk pemenang Olahragawan 2013/2014 Mohd Hafifi Mansor (Angkat Berat), Mohamad Fairus Abd Jabal (Lawn Bowls), Razak Ghazali (Pencak Silat) dan Mohd Nafiizwan Mohd Adnan (Skuasy).

Sementara itu, Siti Rahmah membuat kejutan apabila dipilih sebagai Olahragawati Terengganu selepas kejayaan mendapat pingat emas di kejohanan Pencak Silat Dunia 2016 di Bali Indonesia.

Pemilihan Siti Rahmah mengetepikan penyandang Olahragawati edisi lalu Fatehah Mustapa (Berbasikal) serta calon lain Alia Sazana Azahari (Menembak), dan Siti Nor Farhana Mustafa (Bola Jaring).

Muhammad Azizi Shamsuddin daripada sukan Muay Thai dan Nur Durriyah Damian (golf) masing-masing dipilih sebagai olahragawan dan olahragawati harapan dan membawa pulang RM2,500, piala pusingan, piala iringan dan sijil kepujian.

Mohamad Azwar Bakar@Ibrahim dan Siti Nor Athirah Mohd Anuar, kedua-duanya daripada sukan ping pong pula dipilih sebagai olahragawan dan olahragawati Paralimpik.

Sementara itu, Anugerah Pasukan Lelaki Terbaik menjadi milik Terengganu Cycling Team (TSG) Le Tour De Langkawi 2016.

Mohd Azemi Awang Chik dipilih sebagai penerima Anugerah Kepimpinan Sukan yang pertama kali diperkenalkan manakala Anugerah Pegawai Persatuan Sukan Terbaik dimenangi Ahmad Hisham Hassan daripada Persatuan Lawn Bowl Terengganu.

Dalam pada itu, bekas Ketua Pengarah Sukan, Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Sayed Abu Bakar Syed Abdullah dinobatkan sebagai Tokoh Sukan Terengganu atas sumbangan beliau sebagai ahli sukan, pemimpin dan pentadbir sukan.

Allahyarham Rozimi Omar (jurulatih Mountain Bike), Allahyarham Hamzah Yunus (Persatuan Menembak Terengganu), Allahyarham Ab Malik Musa Dali (Persatuan Petanque Terengganu), Allahyarham Azmi Muhammad (Persatuan Bola Baling Terengganu), Mendiang Tan Chong Huat (Panel Jurulatih Majlis Sukan Negeri Terengganu), masing-masing dipilih penerima Anugerah Jasamu Dikenang.

Anugerah Jurulatih Terbaik menjadi milik Marjan Abdullah@Mohd (judo) manakala Persatuan Lumba Basikal Terengganu memenangi Anugerah Persatuan Terbaik serta Majlis Sukan Daerah Terbaik dimenangi Hulu Terengganu.

Dan Anugerah Khas diberikan kepada Pegawai Pembangunan Parlimen Dungun, Dato’ Din Adam yang terlibat aktif dalam kegiatan persatuan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat dengan mempengerusikan beberapa persatuan sukan dan kebajikan.

Tag: