• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Azizulhasni Terima Insentif RM350,000 Daripada Kerajaan Negeri

KUALA TERENGGANU, 25 Ogos- Jaguh berbasikal negara, Dato' Mohd Azizulhasni Awang hari ini menerima insentif kemenangan daripada Kerajaan Terengganu atas sumbangannya memenangi pingat perak (keirin lelaki) di Sukan Olimpik 2020 Tokyo, baru-baru ini.

Atlet kelahiran Dungun itu menerima hadiah berupa sebuah rumah bernilai RM300,000 di Dungun dan wang tunai sebanyak RM50,000.

Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, rumah  teres setingkat itu juga terletak hanya 300 meter dari Velodrom yang sedang dibina di Dungun.

Jelasnya, insentif tersebut sebagai penghargaan kepada anak negeri Terengganu itu yang telah membawa pulang satu-satunya pingat perak buat negara dari temasya Olimpik kali ini.

"Ini menjadi kebanggaan kepada seluruh rakyat Terengganu dan menjadi inspirasi bahawa kita boleh sahaja mempunyai apa jua cita cita, namun yang pentingnya ialah dengan berusaha keras dan sokongan dari pelbagai pihak yang tidak henti-henti.

"Kerajaan berharap Dato' Azizulhasni dapat terus meningkat pencapaian dalam kejohanan selepas ini.

"Kita terus berdoa dan bercita-cita supaya kita boleh memperolehi pingat emas pertama buat Malaysia dalam tiga tahun lagi," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan insentif tersebut di Kediaman Seri Iman, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ahmad Shahrizal Yahaya.

Tambah Dr. Samsuri, kerajaan negeri juga akan terus menyokong atlet-atlet anak negeri dalam mengharumkan nama negara di peringkat tertinggi.

"Kepada mana-mana atlet anak negeri yang berjaya mengharumkan nama negara, kerajaan negeri tidak akan lokek dan akan terus membantu," katanya.


Tag: