• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Azmani 'Vokalis' Baharu Iklim

Azmani membuat kemunculan pertama dengan menyampaikan lagu Gerhana Cinta Luka.

KUALA TERENGGANU, 15 September- Kumpulan 'rock' ternama Malaysia, Iklim mengejutkan peminat apabila menampilkan 'vokalis' baharu pada penampilan kumpulan berkenaan dalam Karnival Pantai 2019 di Dataran Batu Buruk, semalam.

 

 

 

Pengurusnya, Yusli Mohd Hassan memaklumkan, Iklim bakal kembali mewarnai industri seni tanah air dengan Mohd Azmani Mohd Isa bertindak menggantikan tempat Allahyarham Saleem sebagai penyanyi utama.
 
Penyanyi kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu merupakan bekas penyanyi utama Kumpulan Kulit yang aktif di antara penghujung tahun 90-an dan terkenal dengan lagu 'Kita Yang Tak Berdosa'.
 
Umarul (bertopi) dan Mohalim masih hebat seperti dahulu.
 
 
 
"Azmani membawa imej baru dalam Iklim dan suaranya sendiri sesuai dengan lagu-lagu baharu yang akan dilancarkan kumpulan ini," katanya ketika ditemui selepas program Malam Kesenian Islam, semalam.

Program tersebut turut menampilkan penyanyi terkemuka yang juga merupakan anak Allahyarham Saleem, Syafiq Farhain, kumpulan nasyid terkenal, Hijjaz dan Seedrain.
Peminat bertuah menyaksikan gandingan Syafiq dan kumpulan Iklim.

Lebih menarik, peminat Syafiq di Terengganu bertuah kerana menyaksikan sendiri gandingan penyanyi berkenaan bersama Iklim sebagaimana yang diingin selama ini.
 
Yusli juga menyatakan, Iklim akan mula mengeluarkan album dengan lagu-lagu baharu bermula tahun hadapan.
 
"Insya-Allah, kami akan menyertai satu konsert amal pertengahan Oktober ini serta akan melancarkan lagu baru menjelang tahun baru nanti.

 
 
Hijjaz merupakan antara artis yang menghiburkan Malam Kesenian Islam.
"Kembalinya kami sebagai satu pasukan adalah hasil cetusan kerajaan negeri dan penaja serta kerinduan peminat," ungkapnya.
 
Dalam pada itu, gitaris Iklim, Umarul Mahdzar berharap peminat dapat menerima kemunculan semula kumpulan tersebut dengan baik.
 
"Di usia ini, kami akan berusaha semampu mungkin untuk memberikan yang terbaik kepada peminat. Harap peminat boleh terima seadanya penyanyi yang kami ada," katanya.
 
 
Seedrain tampil cemerlang bersama nama besar di pentas Karnival Pantai Terengganu 2019.
Ahli kumpulan Iklim terdiri daripada Umarul sebagai gitaris merangkap composer, Kamaruddin Ibrahim (pemain dram), Mohd Salim Saleh atau lebih dikenali sebagai Mohalim (gitar ‘bass’) Mohamad Huzali Ali (papan nada atau ‘keyboard’) dan Yusli sendiri sebagai pengurus dan turut berperanan sebagai penyanyi kedua.
 
 
Manakala, Azmani dan Basri Ismail (gitaris kedua) merupakan anggota baharu kumpulan itu.
Yusli, pengurus yang mengumpulkan semula anggota Iklim.