• 17 Sept 2021 | 9 Safar 1443

Azreen Bawa Penampilan Patuh Syariah Sukan Ke Olimpik

KUALA TERENGGANU, 25 Julai - Ratu pecut Terengganu, Azreen Nabila Alias yang berangkat ke Tokyo, hari ini bukan sekadar tampil untuk meraih kejayaan buat negara dalam Sukan Olimpik 2020.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kehadiran Azreen ke temasya sukan terbesar dunia itu turut mengangkat imej dan konsep patuh syariah dalam sukan yang diperkenalkan kerajaan negeri ke peringkat tinggi.

"Itu yang saya pesan pada Azreen, supaya memperkemaskan tudung dengan maksud beliau akan terus mengekalkan pematuhan syariah tersebut dalam konteks saingian peringkat dunia.

"Sepertimana apa yang berjaya beliau tunjukkan dalam Sukan Malaysia (SUKMA) di Ipoh dua tahun lalu, kita mengharapkan penampilan dalam imej yang sama ini dapat memberikan kesan besar kepada dunia dengan apa yang ditunjukkannya," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan amanat negeri kepada atlet berkenaan secara maya, baru-baru ini.

Jelasnya, tinggi harapan kerajaan negeri kepada Azreen untuk mengangkat konsep tersebut dengan peluang yang diperolehinya.

"Paling tinggi yang kita mahu adalah untuk menunjukkan kepada semua bahawa dengan berpakaian begitupun masih mampu melayakkan diri ke Olimpik serta membuktikan pemakaian tidak langsung menghalang kita beraksi dengan baik di peringkat tinggi," katanya.

Terdahulu, pada hari pertama temasya Olimpik berlangsung dua hari lalu, pasukan gimnastik Jerman, antara negara besar dalam sukan dunia menarik perhatian umum apabila tampil dengan uniform atau jersi pasukan lebih sopan.

Perkara itu, sekali gus membuktikan konsep patuh syariah yang cuba diperkenalkan Terengganu bukan idea kuno dan sebaliknya selari dengan zaman.

 


Tag: