• 25 Nov 2020 | 9 Rabiul Akhir 1442

Baik Pulih Rumah Rakyat, Fokus Adun Bandar

KUALA TERENGGANU, 26 Oktober – Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar memberi tumpuan lebih dalam membaik pulih rumah rakyat melalui Program Perumahan Terengganuku Sejahtera (PPTS).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed berkata, kerajaan negeri melalui PPTS telah memperuntukkan sebanyak RM1 juta setahun.

Justeru, katanya rumah-rumah rakyat yang rosak dan daif akan mendapat manfaat daripada dana tersebut.

“Setakat ini DUN Bandar lebih memberi perhatian kepada baik pulih bahagian-bahagian rumah yang rosak berbanding membina rumah baharu.

“Pendekatan kami yang hanya menfokuskan baiki rumah sahaja dan tidak lagi membuka permohonan bina rumah baharu.

“Ini bagi memastikan lebih ramai rakyat dapat merasai keselesaan dengan sejumlah peruntukan yang ada, Insya-Allah,” ujarnya kepada pihak media Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), ketika ditemui di Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Bandar baru-baru ini.

Menurutnya, selepas ini jika angka rumah yang rosak sudah berkurangan pihak DUN akan menumpukan kepada pembinaan baharu.

“Impian saya sebagai ADUN adalah untuk melihat rakyat yang telah berkeluarga di DUN Bandar ini tidak ketinggalan untuk mengecapi bantuan daripada pihak kerajaan,” jelasnya. 

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan, dan Alam Sekitar negeri turut menyarankan, pihak Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) agar lebih proaktif menjejaki golongan rakyat yang memerlukan bantuan berkenaan.

“Ramai warga komuniti sama ada yang terlibat dengan PPTS mahu pun tidak, melahirkan rasa teruja dan bersyukur dengan bantuan ini. 

“Hampir di seluruh negeri, pihak pusat khidmat masyarakat dalam DUN masing-masing memberi perhatian terhadap PPTS.

“Kami khasnya di DUN Bandar, akan terus menggandakan usaha untuk memastikan semua golongan masyarakat yang layak, tersenarai dalam PPTS ini,” ujarnya. 

Menurut beliau, sepanjang tahun 2020 ini rekod membaik pulih rumah rakyat di DUN Bandar sebanyak 79 buah, melibatkan 16 MPKK dengan kos peruntukan keseluruhan berjumlah RM1 juta.


Tag: