• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Bajet 2017: Terengganu Mahu Terus Fokus Sektor Domestik Dan Pelancongan


Kerajaan negeri mengambil langkah bijak dengan tidak terlalu bergantung terhadap hasil minyak sebagai sumber ekonomi negeri apabila menfokuskan kepada pelaburan domestik dan sektor pelancongan pada tahun hadapan.

Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman berkata, jika sebelum ini 85 peratus sumber pendapatan negeri datang daripada sumber petroleum.

"Paling membanggakan kini apabila kerajaan negeri sudah mula tidak memberikan sepenuhnya fokus pendapatan berasaskan sumber tersebut.

“Kita telah menggerakkan pertumbuhan ekonomi domestik termasuk penglibatan pihak swasta untuk membuat pelaburan di Terengganu sekali gus membantu memperkasakan lagi ekonomi negeri,” ujarnya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membentangkan Bajet 2017 di Persidangan Dewan Undangan Negeri, Wisma Darul Iman, hari ini.

Katanya, pada tahun hadapan juga  kerajaan negeri akan menumpukan kepada sektor pelancongan sebagai satu lagi industri utama negeri yang akan memberikan impak ekonomi secara langsung kepada rakyat.

"Walaupun pengeluaran dan hasil petroleum di Terengganu masih lagi mapan terutamanya dalam tempoh 10 tahun akan datang tetapi kerajaan negeri telah membuat persediaan lebih awal," katanya

Katanya, kebanyakan hasil pendapatan negeri datang daripada hasil tanah, pelaburan serta anak-anak syarikat kerajaan negeri (GLC).

“Sekarang ini, kita banyak menggunakan GLC untuk membantu kerajaan dan secara tidak langsung  mengurangkan perbelanjaan negeri contohnya kewujudan dana Tabung Sukan Negeri dan Tabung Darul Iman melalui tanggungjawab sosial pihak-pihak ini.

“Penglibatan pihak swasta melalui usaha sama dengan kerajaan negeri juga, memberikan salah satu sumber pendapatan kepada kerajaan negeri,” ujarnya.

Tag: