• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Bajet 2019 : Projek Tebatan Banjir Baroh Tok Jiring Siap Tahun 2020

Dr Mamad (kiri) berucap menggulung perbahasan Enakmen Perbekalan 2019 di DUN Terengganu semalam.

KUALA TERENGGANU,  27 November - Projek Tebatan Banjir Baroh Tok Jiring, Kuala Nerus dekat sini dijangka siap pada tahun 2020 lewat setahun dari tarikh sebenar. 

Pengerusi Jawatankuasa Insfrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau Negeri Dr Mamad Puteh berkata,  projek tersebut diluluskan pada tahun 2015 dan dijangka siap pada tahun hadapan. 

"Sekarang ini sepatutnya projek itu siap dalam kemajuan sekitar 64.79 peratus tetapi kesiapan sebenarnya sebanyak 62.62 peratus, kemajuannya negatif 2.17 peratus sahaja (lewat 31 hari)," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Bajet 2019 di Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Ke 14 di Wisma Darul Iman di sini hari ini. 

Dr Mamad (tengah) ketika membuat  lawatan kerja ke ke Tapak Projek Tebatan Banjir Baroh Tok Jiring,  Kuala Nerus baru-baru ini.
Projek itu lewat disiapkan kerana 120 lot tanah belum dibayar.

Masalah bayaran pengambilan balik tanah untuk projek berkenaan dijangka akan selesai tidak lama lagi. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)  Tepoh,  Ustaz Hishamuddin Abdul Karim dalam soalan lisannya sebelum itu bertanyakan tentang status bayaran tersebut.

Baru-baru ini,  Dr Mamad telah membuat lawatan kerja ke tapak projek berkenaan untuk mengetahui kemajuan dan permasalahan yang dihadapi.

Ketika dihubungi Dr Mamad yang juga ADUN Kuala Berang menjelaskan bahawa projek tersebut menelan belanja RM87 juta.

Projek itu dimulakan pada 15 Mac 2015 dan tarikh asal siap ialah 11 Mac 2018.

Ia dilanjutkan ke tarikh baru iaitu 16 September 2019 (selama 583 hari) kerana belum selesai pengambilan balik tanah.

Kontraktor bagi projek ini ialah GPQ Sdn Bhd .

Dr Mamad berkata jumlah keseluruhan pengambilan balik tanah ialah 232 lot. Pejabat Tanah telah selesai siasat sebanyak 211 lot tanah.

Sebanyak 91 lot tanah telah selesai dibuat pembayaran manakala 120 lot lagi belum selesai dibayar.

Sementara 22 lot tanah lagi ditangguhkan kerana terlibat dengan perubahan rekabentuk 'West Bund' No. 2.

Penyelesaian pembayaran 120 lot tanah itu memerlukan peruntukan sebanyak RM16.9 juta.

Dilaporkan bahawa seramai lebih 300 penduduk di kampung berkenaan bimbang kawasan perumahan mereka ditenggelami air ketika musim banjir. 

Mereka dilaporkan trauma dan bimbang jika banjir besar di kampung berkenaan berulang lagi sebagaimana tahun 2014.


Tag: