• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Bajet 2019 : Terengganu Teruskan Biasiswa Kepada Pelajar Bidang Agama Di Luar Negara

Satiful Bahri Mamat.
KUALA TERENGGANU, 26 November - Kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu (YT) akan menyambung semula penajaan kepada pelajar Terengganu yang berjaya melanjutkan pengajian dalam bidang agama di luar negara bermula tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Negeri, Satiful Bahri Mamat berkata, sebelum ini kerajaan terdahulu telah menghentikan pemberian biasiswa kepada pelajar yang melanjutkan pelajaran di beberapa buah negara.

“Ianya melibatkan pelajar yang melanjutkan pengajian dalam bidang agama di Mesir pada 2011 diikuti pelajar di Jordan dan Maghribi pada tahun 2015.

"Alhamdulillah, dalam Bajet 2019, kerajaan negeri akan menyambung semula penajaan kepada pelajar ini dengan peruntukan sebanyak RM15 juta yang akan diuruskan oleh YT.

"Daripada jumlah itu, RM5 juta ialah biasiswa untuk pelajar cemerlang dan RM10 juta pula pinjaman yuran untuk pelajar luar negara di mana ia tidak terhad kepada pengajian Islam sahaja, malah turut dibuka kepada pelajar bidang lain seperti perubatan," ujarnya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ab Razak Ibrahim (PAS-Air Putih) berkaitan apakah jenis pembiayaan yang diberikan agensi kerajaan kepada pelajar luar negara dalam bidang keagamaan dalam sesi soal jawab lisan sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Ke-14 di Wisma Darul Iman, hari ini.

Satiful yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka berkata, bagi menampung kos sara hidup bulanan pelajar di luar negara pula, pihaknya akan berkolaborasi dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) untuk pemberian zakat kepada pelajar yang layak.

Katanya, kerajaan negeri juga akan meneruskan pemberian insentif persediaan awal RM1,000 kepada pelajar yang berjaya menyambung pengajian di mana-mana universiti dalam dan luar negara.

"Sebanyak RM1.5 juta juga diperuntukkan kepada pelajar yang melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah untuk anak-anak Terengganu yang berkelayakan," katanya. 

Dalam pada itu, menjawab soalan Maliaman Kassim (PAS-Ajil) pula, Satiful berkata,  kerajaan negeri akan meningkatkan kemudahan infrastruktur di tiga madrasah moden sedia ada iaitu di Kuala Nerus, Hulu Terengganu dan Besut dan tidak bercadang untuk mewujudkan madrasah yang baharu di kawasan lain.

"Saya sendiri turun padang dan tengok kemudahan yang ada di madrasah ini, ianya berada dalam keadaan tidak terurus dan boleh mendatangkan musibah kepada pelajar. Kita akan baik pulih dan bersetuju agar madrasah ini ditadbir urus oleh Bahagian Pendidikan JHEAT selepas ini," katanya. 


Tag: