• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Bajet 2019 : Tiga Ahmad Berpadu Tuntut Royalti Terengganu


Dr. Samsuri bersama dua mantan menteri besar, Razif (kiri) dan Ahmad (kanan).

KUALA TERENGGANU, 27 November - Dua mantan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman dan Dato’ Seri Ahmad Said menyatakan hasrat untuk membantu Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mendesak Kerajaan Persekutuan bagi mendapatkan baki royalti yang dianggarkan bernilai RM400 juta hingga RM500 juta.

Ahmad Razif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir  berkata, wang ehsan atau royalti merupakan perkara yang sensitif kepada rakyat Terengganu.

“Kebiasaannya pada tahun-tahun yang lalu, kerajaan negeri akan menerima jumlah sepenuhnya pada bulan Oktober.

"Kini, sudah penghujung November dan baki anggaran sekitar RM500 Juta belum diterima lagi.

“Kita melahirkan rasa bimbang kerana Bajet 2019 yang diumumkan berasas kepada sumber ini,” katanya kepada media selepas sesi soal jawab Sidang Dewan Undangan Negeri, di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Ahmad Razif.

Beliau menggesa sebuah jawatankuasa ditubuhkan untuk rundingan bersama Kerajaan Persekutuan sebagai satu lagi medium penyelesaian.

“Kita perlu bersama-sama dalam hal ini termasuklah bekas Ahli Parlimen Kuala Terengganu, bekas ADUN Bandar dan bekas ADUN Batu Buruk yang sentiasa mengemukakan perkara ini sejak dahulu.

“Malah, bekas Ahli Parlimen Kuala Terengganu yang kini menjadi Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan perlu bersama kerana beliau mempunyai hubungan rapat dengan Kerajaan Persekutuan,” katanya yang merujuk kepada Senator Dato’ Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad.
    
Sementara itu, Ahmad Said (BN-Kijal) pula menggesa Kerajaan Persekutuan supaya menghormati perjanjian yang telah dimeterai sebelum ini.

“Kita mesti akur dengan perjanjian royalti minyak yang telah dipersetujui kedua pihak sejak dahulu.

Ahmad Said.

“Walaupun hakikatnya, kadar lima peratus itu tidak adil kepada kita tetapi kita tetap menerima perjanjian yang telah ditandatangani dan berharap Kerajaan Persekutuan juga sama dalam hal ini.

“Saya telah menyatakan hasrat untuk bersama-sama kerajaan negeri dalam hal ini. Namun, keputusannya terserah kepada Menteri Besar,” katanya.

Dr. Samsuri menyambut baik hasrat mereka dan memutuskan untuk merangka jawatankuasa yang akan diperincikan selewat-lewatnya sebelum akhir Disember.

"Kita sebagai pemimpin perlu bersatu dalam memenuhi hak rakyat dan kerjasama ini merupakan politik matang dan sejahtera yang kita inginkan," katanya.




Tag: