• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Bajet Dibentang Anwar Tiada Faktor 'Wow' Untuk Anak Muda

KUALA TERENGGANU, 26 Februari - Belanjawan 2023 bertemakan 'Membangun Malaysia Madani' membabitkan peruntukan besar RM388.1 bilion tidak memiliki faktor 'wow' untuk anak muda Terengganu.

Timbalan Ketua Penyelidik Menteri Besar Terengganu, Mohd Harun Esa berkata, bajet yang menumpukan 12 ikhtiar utama berlandaskan tiga tekad disifatkan tiada mesra belia.

"KIta memandang bajet tersebut tidak ada nilai 'wow' walaupun kita tahu ia merupakan antara bajet yang paling besar diumumkan tetapi peruntukan untuk rakyat Terengganu semakin kurang tidak sebagaimana yang diharapkan, diantaranya usaha untuk membantu rakyat tiba-tiba antara perkara yang diumumkan adalah pemberian lesen percuma.

"Perkara ini telah lama dilaksanakan di negeri, dalam harapan untuk kita melihat bantuan yang lebih baik diberikan di bawah kerajaan sekarang termasuk berkait berkenaan royalti, Terengganu sangat terkesan walaupun selama ini menerima Dana Khas Kerajaan Persekutuan tetapi ia lebih besar daripada apa yang ingin dilakukan kerajaan persekutuan hari ini.

"Tindakan mengecilkan had sempadan maritim negeri hanya tiga batu nautika sahaja, lebih daripada itu tidak akan diberikan (royalti) ini merupakan suatu perkara yang sangat mengecewakan," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), pada Program Kayuhan Basikal 'Family Fun Ride' di Dataran Awam Batu Buruk, semalam.

Tambah beliau, antara perkara yang turut mengundang kekecewaan rakyat, adalah permintaan pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) juga tidak dipenuhi.

"Ini menjadi harapan rakyat, kerana antara yang lantang bersuara dahulu adalah Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim sendiri. Bagi pandangan saya dia (Anwar) ke belakang, tidak memberi apa-apa manfaat kepada rakyat Terengganu khususnya anak muda jadi kita sifatkan 'sangat mendung'," ujarnya.