• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

BAKTI Hulur Sumbangan Kepada 437 Mangsa Banjir

Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI) meneruskan bantuan kemanusiaan pasca banjir di negeri ini dengan menyampaikan sumbangan bernilai kira-kira RM88,000 kepada 437 keluarga yang terlibat banjir baru- baru ini di Langkap, Setiu.

Sumbangan berupa wang tunai dan keperluan makanan kepada mangsa dari sepuluh kampung terlibat banjir itu disampaikan oleh Yang Dipertua BAKTI, Datin Seri Rosmah Mansor dalam lawatannya bersama rombongan sempena Sesi Bertanya Khabar Mangsa Banjir dan Penyampaian Sumbangan di Sekolah Kebangsaan Pelong, Setiu hari ini.

Antara kampung yang terjejas akibat banjir di kawasan tersebut termasuk Kampung Pelong, Kampung Sri Kenangan, Kampung Langkap, Kampung Sungai Tong, Kampung Bukit Nenas, Kampung Tayor Tengah, Kampung Pak Pa serta Kampung Bukit Nyior.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Langkap Dato' Sabri Mohd Noor berkata, mangsa-mangsa banjir amat terharu dan teruja dengan kedatangan isteri Perdana Menteri melawat dan bertanya khabar.

"Rata-rata mangsa banjir mengatakan kesedihan dan trauma akibat ditimpa musibah itu sedikit terubat dengan kunjungan Datin Seri Rosmah ke tempat mereka," ujarnya kepada pemberita ketika ditemui di Sekolah Kebangsaan Pelong, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Dato' Jailani Johari, Menteri Besar Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Wan Nawawi Wan Ismail.

Sementara itu, salah seorang penduduk, Harun Said, 80, dari Kampung Bukit Berangan Pelong, berterima kasih di atas sumbangan yang terus diberikan kerajaan pusat dan kerajaan negeri sehingga ke hari ini termasuk yang disumbangkan BAKTI kerana secara tidak langsung dapat mengurangkan beban mangsa banjir.

"Pakcik suka sangat dapat jumpa isteri perdana menteri yang turut bertanya khabar pakcik.Beliau siap berpesan kepada pakcik supaya jaga pemakanan.

"Terima kasih dengan sumbangan yang diberikan. Dapatlah pakcik tiga beranak gunakan selepas banjir ini," ujarnya yang mengalami masalah strok dan terpaksa berpindah selama dua hari ke pusat pemindahan di surau kampungnya akibat rumah yang dinaiki air sehingga ke paras dada.






Tag: