lightning-solid
Berita :
Bangkai Anak Penyu Ditemui Di Pantai Kelulut
Bangkai Anak Penyu Ditemui Di Pantai Kelulut
Abdul Fattah Kamarudin
20 jam yang lepas
36

MARANG, 25 Januari – Penemuan bangkai seekor anak penyu di Pantai Kelulut menimbulkan kebimbangan terhadap tahap kebersihan pantai dan kelestarian hidupan laut.

Ahli Jawatankuasa Geng Plastik Ijau (GPI) Pusat, Sukri Sipit berkata, penemuan itu menjadi yang keempat direkodkan GPI.

Katanya, bangkai anak penyu tersebut dijumpai pada program Ameerah Cintai Alam: Bersih Pantai Kelulut, hasil kerjasama antara Ameerah Rhu Rendang dan GPI.

“Sepanjang GPI beroperasi, ini kali keempat kami menjumpai bangkai penyu. Kali ini melibatkan anak penyu jenis agar. Keadaan ini amat membimbangkan dan tidak boleh dipandang ringan,” katanya.

IMG_1266.jpeg 2.06 MB
Menurut beliau, pencemaran khususnya sisa plastik yang dibuang sewenang-wenangnya dipercayai menjadi antara ancaman utama kepada hidupan laut, termasuk penyu yang menjadikan pantai Terengganu sebagai kawasan pendaratan dan pembiakan.

Sehubungan itu, Sukri menggesa orang ramai agar lebih bertanggungjawab ketika berkunjung ke pantai.

“Cintailah kebersihan pantai kita. Jangan tinggalkan sampah merata-rata. Kalau ternampak sampah, tolong buang. Sampaikan juga pesan ini kepada rakan-rakan,” katanya.

IMG_1269.jpeg 3.79 MB
Sementara itu, Timbalan Ketua Ameerah Rhu Rendang, Najmiah Kassim menyatakan rasa terkilan dengan penemuan tersebut dan menegaskan bahawa penyu merupakan khazanah alam yang perlu dilindungi.

“Penyu adalah ikon Negeri Terengganu. Jika perkara seperti ini berterusan, penyu akan berdepan risiko kepupusan,” katanya.

IMG_1263.jpeg 2.43 MB
Beliau menambah, program pembersihan pantai dan kempen kesedaran awam perlu diteruskan serta diperluaskan bagi mendidik masyarakat tentang kepentingan menjaga alam sekitar.

“Usaha menjaga pantai mesti seiring dengan kesedaran. Pantai bersih bukan sekadar cantik dipandang, tetapi selamat untuk hidupan laut,” ujarnya.

Dalam program tersebut, sebanyak 452.9 kilogram sampah berjaya dikutip, sekali gus mencerminkan tahap pencemaran yang masih membimbangkan dan memerlukan komitmen berterusan daripada semua pihak.


Artikel Berkaitan