• 22 Okt 2024 | 19 Rabiul Akhir 1446

Banjir : Empat Sekolah Masih Ditutup Esok


Empat sekolah masih ditutup sesi persekolahan esok, disebabkan banjir yang masih melanda di beberapa daerah khususnya Setiu, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu.

Sekolah yang ditutup adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Las kerana masalah pendawaian elektrik yang tidak selamat, dua sekolah di Kuala Nerus masing-masing SK Kompleks Gong Badak dan SK Bukit Guntong pula menjadi pusat pemindahan sementara mangsa banjir.

Manakala SK Banggol Peradong, Kuala Terengganu juga menjadi pusat pemindahan sementara mangsa banjir.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan Negeri, A. Latiff Awang berkata, penutupan empat sekolah berkenaan melibatkan 509 murid dan 42 guru.

"Alhamdulillah, cuaca di Terengganu semakin baik. Ini adalah kerana doa semua dan berharap semua pihak khususnya ibu bapa serta pelajar sentiasa berada dalam situasi berjaga-jaga dan bersedia dengan sebarang kemungkinan," katanya kepada Teganukita, hari ini.

Beliau juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua sukarelawan dan agensi serta jabatan yang membantu membersih sekolah terlibat dalam pasca banjir.

Dalam pada itu, A.Latiff  juga mengarahkan  Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu dan pengurusan sekolah membuat penilaian terhadap kerosakan prasarana akibat banjir di sekolah terlibat.

Tag: