• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Banjir: Sedia Peruntukan Segera RM500,000 Untuk DUN




Kerajaan negeri meluluskan peruntukan segera sebanyak RM500,000 kepada setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) bertujuan membaiki dan membina rumah baharu yang terlibat dalam bencana banjir baru-baru ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, peruntukan tersebut telah dibentangkan di dalam Bajet 2017 namun ianya diawalkan berikutan musibah yang berlaku itu.

“Sebanyak RM1 juta diperuntukan untuk setiap DUN bagi tujuan itu dengan agihan RM500,000 sebanyak dua kali.

“Apa yang berlaku ini, maka kita menyegerakan peruntukan yang 
kebiasaannya diberi pada Februari.

“Kos maksimum untuk membaiki sebuah rumah adalah RM11,000 manakala kos maksimum untuk membina rumah adalah RM40,000 dan keutamaan akan diberikan kepada mangsa yang terlibat dengan banjir,” katanya.


Beliau ditemui pemberita pada sidang media sempena Majlis Pelancaran Jersi Serta Memperkenalkan Pasukan Bola Sepak dan Hoki Terengganu 2017 di Wisma Darul Iman, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Wan Nawawi Wan Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, Dato’ Rozi Mamat, Pegawai Daerah Kuala Nerus, Dato' Tengku Farok Hussin Tengku Abd Jalil.

Dalam pada itu, Ahmad Razif berkata bantuan kepada mangsa banjir sebanyak RM1,000 setiap keluarga akan diberikan secepat mungkin.

“Sepertimana yang sebelum ini, kerajaan negeri akan memberikan kepada setiap keluarga sebanyak RM500 dan kerajaan pusat melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat akan memberikan RM500.

“Kita sekarang sedang mengemas kini senarai sebelum pembahagian dibuat kerana kita juga kena dapatkan maklumat supaya ianya selaras diantara kerajaan negeri dan kerajaan pusat.

“Jadi apabila senarai ni selesai dilakukan, pembahagian itu juga akan dibuat dengan kadar yang segera,” katanya.

Tag: