• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Belanja RM1 Juta Bina 'Rumah Ikan'

KUALA TERENGGANU, 7 Julai – Lebih RM1 juta dibelanjakan kerajaan negeri bagi membina tukun atau rumah ikan yang berfungsi untuk perkayakan sumber perikanan di Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, sebanyak 45 unit tukun dibina dengan dana kerajaan Terengganu manakala 12 unit tukun bernilai RM300 ribu adalah peruntukan Kerajaan Persekutuan.

"Setiap unit tukun seberat kira-kira 17 tan, menggunakan tetulang besi seberat kira-kira 1.1 tan dengan konkrit grade 35. Target jangka hayat mampu bertahan di dasar laut untuk tempoh 50 tahun.

"Insya-Allah dijadualkan menjelang bulan Oktober, tukun-tukun ini akan dimuatkan ke atas tongkang untuk menuju ke beberapa destinasi bagi dilabuhkan di perairan Terengganu.’

"Usaha berterusan kita bagi memperkayakan lagi sumber perikanan negeri untuk manfaat para nelayan," katanya

Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan ke tapak pembinaan tukun di Pulau Kambing, Kuala Terengganu, hari ini.

Tambahnya, tukun-tukun ini sedang dalam pembinaan di Pulau Kambing, Kuala Terengganu.

"Sekarang masih dibina, insya-Allah siap nanti kita akan labuhkan," ujarnya.