• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Belanjawan 2019 Tidak Adil Untuk Institusi Pendidikan Agama

Ahmad Amzad ketika berucap di Majlis Ihtifal Al-Baghdadi Playtime Centre, di Grand Puteri Hotel, semalam.

Oleh: Syed Kamal

KUALA TERENGGANU, 18 November – Belanjawan 2019 yang dibentangkan di Dewan Parlimen oleh Menteri Kewangan, Lin Guang Eng, baru-baru ini disifatkan tidak seimbang dan tidak adil apabila memperuntukkan perbelanjaan untuk sekolah agama dan tahfiz sama dengan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim menyifatkan belanjawan itu tidak dilaksanakan secara berhemah apabila menyediakan peruntukan sama sedangkan sekolah tahfiz dan agama lebih banyak serta memerlukan perbelanjaan yang lebih besar bagi menampung kekurangan dari pelbagai aspek.

“Belanjawan yang telah dikemukakan baru-baru ini di peringkat Parlimen adalah belanjawan yang sangat tidak seimbang. Sekolah Cina dapat peruntukan RM50 juta, manakala sekolah agama dan tahfiz juga dapat RM50 juta.

“Jadi jumlah ini dibahagi sekata kepada semua sekolah-sekolah tersebut, sedangkan bilangan sekolah agama dan tahfiz jauh lebih banyak dari sekolah Cina, jadi jumlah belanjawan untuk setiap tahfiz jauh lebih sikit dari setiap Cina. Adilkah begitu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Ihtifal Al-Baghdadi Playtime Centre, di Grand Puteri Hotel, di sini, semalam.

Ahmad Amzad berkata, jumlah yang kecil kepada sekolah agama dan tahfiz itu akan membantutkan usaha pembangunan yang mahu dilaksanakan untuk memperkasakan institusi pendidikan agama dan Islam dalam negara.

Antara peruntukan yang diumumkan Guan Eng adalah RM50 juta untuk Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), SJKC (RM50 juta), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) (RM50 juta), Sekolah Berasrama Penuh (RM50 juta), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) (RM50 juta), Sekolah Mubaligh (RM50 juta), Sekolah Tahfiz (RM50 juta) dan Sekolah Pondok yang berdaftar (RM25 juta).


Tag: