Jalur Gemilang
Berita :
Berbeza Budaya Bersatu Rasa, Indahnya Sebuah Masyarakat Majmuk
Berbeza Budaya Bersatu Rasa, Indahnya Sebuah Masyarakat Majmuk
Mohd Shahizam Salleh
27 Aug 26
36

KUALA TERENGGANU, 27 Ogos – Makanan bukan sekadar hidangan untuk dinikmati, malah mampu menjadi medium yang mendekatkan masyarakat serta menyatukan pelbagai kaum dan latar belakang.

Perkara tersebut dizahirkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed menerusi Program Indahnya Kepelbagaian: Warisan Rasa Masyarakat Majmuk yang berlangsung di Jalan Banggol, Kuala Terengganu, semalam.

Menurut beliau, kepelbagaian budaya yang wujud dalam masyarakat merupakan satu kekuatan yang perlu diraikan, bukan perbezaan yang dijadikan batas untuk memisahkan antara satu sama lain.

Program berkenaan menghimpunkan masyarakat berbilang kaum menerusi pelbagai aktiviti, termasuk demonstrasi masakan seperti Bak Cang (Ayam) dan Kuih Onde-Onde.

Lebih menarik, setiap hidangan yang diketengahkan bukan sahaja mempunyai cita rasa tersendiri, bahkan turut membawa sejarah, tradisi serta kisah warisan yang diperturunkan dari satu generasi kepada generasi seterusnya.

Ahmad Shah berkata, melalui makanan dan warisan budaya, masyarakat berpeluang untuk saling mengenali, memahami serta menghargai keunikan budaya yang dimiliki oleh komuniti lain.

“Daripada makanan, kita belajar satu perkara yang cukup indah, iaitu perbezaan bukanlah tembok yang memisahkan, sebaliknya menjadi warna yang mencantikkan sebuah masyarakat,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa apabila masyarakat saling mengenali budaya, memahami tradisi dan menghargai keunikan antara satu sama lain, ia mampu melahirkan rasa hormat, persefahaman serta keharmonian yang lebih kukuh.

Justeru, beliau berharap program seumpama itu dapat diteruskan sebagai ruang untuk membina jambatan perpaduan, memperkukuh hubungan antara masyarakat serta menyemai semangat saling menghormati tanpa mengira kaum dan latar belakang.

Program tersebut sekali gus mencerminkan bahawa warisan makanan bukan sahaja mampu menyatukan rasa di meja makan, malah menjadi jambatan yang menghubungkan hati dan membina keharmonian dalam masyarakat.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan