• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Bercuti Ke Pulau Redang Dengan Penerbangan Terus SKS Airways

KUALA NERUS, 31 Januari - Syarikat penerbangan komersial terbaharu, SKS Airways, kini menawarkan penerbangan terus dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah Subang (LTSAAS) ke Lapangan Terbang Pulau Redang bermula hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata perjalanan udara yang kedua selepas Berjaya Air diharap akan memacu industri pelancongan Pulau Redang yang terjejas akibat pandemik.

"Kini, percutian ke Pulau Redang semakin mudah dengan adanya penerbangan terus tanpa menggunakan kenderaan darat, sama ada pandu kereta sendiri atau menaiki bas sehingga ke jeti.

"Saya yakin penerbangan terus dari Subang itu akan membawa lebih ramai kehadiran pelancong secara terus ke Pulau Redang," katanya.

Beliau berkata demikian di sidang media majlis Sambutan Penerbangan SKS Airways Inaugural Flight, Subang-Pulau Redang di Lapangan Terbang Pulau Redang di sini hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Terengganu, Yang Berhormat Mulia Tengku Seri Bijaya Raja.

Katanya, penerbangan itu mengambil masa selama 1 jam 20 minit dengan kapasiti 19 penumpang termasuk kru penerbangan.

"Buat masa ini, SKS Airways beroperasi sekali penerbangan setiap hari sehingga 6 Mac dan akan bertambah pada dua kali sehari yang akan bermula pada 7 Mac nanti dengan harga tawaran serendah RM160 sehala," tambah Ariffin lagi.

Sementara itu, Ketua Unit Perancangan dan Strategik SKS Airways, Hasmadi Muhamad, pemilihan Pulau Redang merupakan salah satu strategi untuk meluaskan pasaran syarikat penerbangan mereka.

"Selain itu, Pulau ini juga merupakan salah satu destinasi tumpuan dan pulau tercantik di Malaysia di samping mempunyai landasan kapal terbang.

"Pihaknya turut mendapat sambutan baik daripada pelancong yang memilih penjimatan dari segi masa dan jarak," jelasnya.

Tambah beliau, pihak SKS Airways juga menawarkan akses ke lawatan pulau-pulau lain dengan penerbangan bermula antara (LTSAAS) ke Pulau Pangkor mulai 25 Januari dan ke Pulau Tioman dari (LTSAAS) pada suku kedua 2022.  

SKS Airways memulakan operasi dengan pesawat jenis Twin Otter yang terkenal di seluruh dunia kerana keteguhan dan kebolehpercayaan dengan keupayaan Short Take Off and Landing (STOL) yang sangat baik.

Pesawat itu juga turut membolehkannya mendarat dengan selesa di landasan udara pendek.