• 04 Mac 2021 | 20 Rejab 1442

Berita Baik Buat Nelayan, Penggiat Pertanian

KUALA TERENGGANU, 28 Januari – Berita gembira dikongsi oleh Menteri Besar Terengganu apabila 602 Lesen Nelayan Sampan Zon A (kategori pesisir pantai) telah diluluskan sempena Pelancaran Tahun Pertanian Negeri Terengganu 2021.

Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, permohonan tersebut diluluskan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

“Tambah lagi, sebanyak RM300 ribu insentif telah diperuntukkan kepada 173 peserta program Sijil Amalan Pertanian Baik (MYGAP), Insya-Allah melalui insentif ini akan melahirkan beras MYGAP Terengganu.

“Sebanyak RM330 ribu diperuntukkan dalam projek lembu sado berkelompok di mana projek kandang berkelompok akan melibatkan seramai 10 peserta dan 13 peserta lagi dalam projek induk pengganda.

“283 orang penggiat dalam sektor pertanian telah menerima bantuan sebanyak RM 5.7 juta daripada Skim Bantuan Modal Tani (SBMT) di mana pinjaman tersebut adalah tanpa faedah,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ucapannya dalam siaran atas talian majlis pelancaran Tahun Pertanian Terengganu 2021 di Wisma Darul Iman baru-baru ini

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim.

Mengulas lanjut berkenaan tahun pertanian negeri 2021, Dr Samsuri memaklumkan, tiga sasaran ditetapkan bagi kempen tersebut dalam meningkatkan ekonomi sektor pendidikan.

“Pertama, kita akan sasarkan peningkatkan purata pendapatan petani kepada RM3,000 sebulan bagi sebuah isi rumah.

“Kedua, sumbangan sektor pertanian juga akan ditingkatkan kepada 10 peratus daripada jumlah Keluaran dalam negara kasar (KDNK) negeri serta jumlah guna tenaga dalam sektor pertanian disasar peningkatan daripada 42,900 kepada 44,000 orang,” ujarnya.