• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Berkorban Demi Suami Walau Masih Dalam Pantang

KUALA TERENGGANU, 21 Jun - Seorang isteri rela berkorban demi masa depan suami dan keluarga yang lebih cerah walaupun masih menjalani pantang selepas bersalin melahirkan cahaya mata pertama.

Ia apabila suami, membuat keputusan untuk berpisah sementara dengan isteri dan anak kecil bagi mengikuti rawatan pemulihan sepenuhnya daripada ketagihan najis dadah.

Pengurus Pemulihan Dadah Holistik atau Perkampungan Darul Barakah, Alif Mahari berkata, kesungguhan untuk melihat perubahan suami yang ditunjukkan oleh isteri itu benar-benar menyentuh hatinya.

Katanya, lebih terkesan apabila sanggup menemani suami bersama anak yang dibawa ketika pertama kali mendaftarkan diri.

"Paling menyentuh hati sebelum berpisah si ayah mendukung anak dan menciumnya dengan penuh kasih sayang. Semoga dirinya dapat bertahan dalam menjalani tempoh rawatan ini, juga diberikan kekuatan.

"Semoga di masa hadapan bayi comel ini dapat membesar dengan segala kebaikan, menjadi anak yang soleh, penyejuk mata buat ibu dan bapa.

"Apa yang penting, diharapkan anak ini tidak akan tahu langsung kisah hitam orang tuanya serta tidak mengikuti jejak salah yang dilakukan," ujarnya melalui perkongsian di 'facebooknya' kelmarin.

Kisah itu antara cerita yang berlaku di hari pendaftaran Perkampungan Darul Barakah yang dibuka sejak 15 Jun lalu

Menurut Alif, kisah berkenaan juga memberi petanda bahawa masyarakat sangat memerlukan Pusat Pemulihan Dadah Secara Holistik.

"Konsep asas pusat pemulihan dadah holistik ini ialah mereka yang berkampung di sini hadir secara sukarela dan mereka serius mahu berubah.

“Ketika mereka di sini, pelatih akan dididik dengan pelbagai pengisian termasuk ilmu dunia dan akhirat, dalam masa yang sama mereka juga akan diberi peluang untuk membina kerjaya seperti dalam bidang pertanian dan penternakan dengan kelebihan kem yang berkeluasan melebihi 40 ekar,” katanya.

Pusat tersebut merupakan salah satu manifesto PAS pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu.

 


Tag: