• 06 Okt 2024 | 03 Rabiul Akhir 1446

Bermodalkan RM300, Air SETIN Kini Jadi Buruan

KUALA TERENGGANU, 16 April - Bermodalkan RM300 selepas mencatat kerugian daripada modal awal, RM1,700, air 'SETIN' kini mejadi buruan rakyat Terengganu untuk dijadikan minuman berbuka puasa.

'You Tuber' Malaysia, Sukri Sulaiman berkata, walaupun pada awalnya dia menanggung kerugian yang agak besar, namun niatnya untuk membantu orang tetap diteruskan dan akhirnya membuahkan keuntungan lumayan.

"Pada mulanya dengan modal RM1,700 saya guna untuk beli barang-barang untuk buat air setin (satu tin), kemudian agak mengecewakan apabila pada hari pertama saya mencatat kerugian yang agak besar.

"Namun begitu, saya tetap meneruskan niat saya untuk bantu orang ramai supaya boleh minum air setin laici ini dan juga kerana saya ingin mencipta 'content' di media sosial.

"Alhamdulillah di hari kedua Tuhan gandakan jualan saya dan semakin hari jualan semakin laris serta mendapat sambutan yang begitu menggalakkan daripada pelanggan. Satu hari boleh cecah sehingga RM10,000 jualan yang diperolehi," jelasnya ketika ditemui pemberita semalam.

Suasana penjualan air SETIN di Kuala Terengganu. 

Menurut Sukri, idea untuk buat produk minuman berperisa tersebut adalah kerana dia terkilan dengan sebuah kedai

"Idea asalnya bermula apabila saya kedai dengan salah sebuah kedai yang saya singgah semasa aktiviti berkhemah, membuat air laici yang hanya diletakkan satu biji sahaja di dalamnya serta laici tersebut pecah, menjadikan saya berniat untuk berniaga buat air sendiri dengan letakkan satu tin laici di dalam air tersebut.

"Ramuan untuk buat air ini saya dapat daripada kawan saya yang juga berniaga air di Paka, Dungun," katanya.

Tambahnya, beberapa hari yang lepas dia memulakan perniagaan tersebut di Kuala Terangganu dan mendapat sambutan yang sangat menggalakkan.

Orang ramai yang sanggup beratur panjang di tengah panas untuk membeli air SETIN. 

"Alhamdulillah sambutan jualan air SETIN di Kuala Terengganu ini sangat luar biasa, sehinggakan kami berjaya menjual air tersebut 400 tin dalam masa 30 minit sahaja. Jualan sangat laju lebih-lebih lagi di hujung minggu.

Tambah 'influencer' itu lagi, produk ini bukan sahaja laris dikalangan warga tempatan luar dan dalam negeri malahan juga turut mendapat sambutan daripada negara jiran iaitu Thailand.

"Saya pun terkejut apabila ada pelanggan daripada Golok Thailand, Sabah dan Sarawak serta lain-lain negeri lagi yang datang untuk rasa air SETIN ini," katanya.

Sukri juga turut merancang untuk mengembangkan perniagaan tersebut dengan bantuan atau sokongan daripada pihak kerajaan.

"Harapan dan perancangan saya di masa akan datang, andai kerajaan negeri boleh berunding untuk berikan saya satu tapak untuk berniaga, saya berhasrat untuk membina sebuah cafe atau tempat yang berkonsepkan 'camping' dengan modal yang ada.

"Juga disitu saya akan jual air SETIN berserta dengan beberapa produk yang terpilih di Negeri Terengganu iaitu seperti nasi dagang yang paling sedap dalam negeri Terengganu dan lain-lain produk yang menjadi permintaan ramai orang," ujarnya.

Sukri Sulaiman yang berjaya menjual air SETIN 400 unit hanya dalam masa 30 minit sahaja.

Sukri yang mempunyai 500 ribu lebih pengikut di laman sosial 'facebook' itu juga berharap supaya produk "SETIN" dalam loghat Terengganu itu menjadi ingatan ramai.