• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

Bersatu Kembalikan Perundangan Islam - Dr Samsuri

Ustaz Mohd Nor Hamzah (kanan) ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Muzakarah Perundangan Islam Negeri Terengganu 2018.
KUALA TERENGGANU, 18 Oktober - Tidak ada cara lain untuk memperbaiki kehidupan masyarakat melainkan umat Islam mestilah bersatu untuk mengembalikan perundangan Islam yang menyeluruh.

Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, rakyat negeri Terengganu dan Malaysia amnya mestilah mengamalkan cara hidup Islam yang indah secara menyeluruh dalam kehidupan mereka.

“Kerajaan negeri sangat menyokong dan mendokong segala program atau majlis ilmu seumpama ini bagi meningkatkan dan memantapkan ilmu pengetahuan.

“Ianya bermanfaat untuk seluruh kepimpinan dan masyarakat negeri ini yang meliputi seluruh aspek agama khususnya perundangan Islam,” ujarnya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Mohd Nor Hamzah ketika merasmikan Muzakarah Perundangan Islam Negeri Terengganu 2018 di Wisma Darul Iman (18 Oktober).

Beliau berharap para penulis Islam hendaklah sentiasa menyebut faktor yang menyokong pelaksanaan syariat dan mengurangkan peningkatan pengaruh kuasa asing dan musuh-musuh Islam.


“Alhamdulillah hasil daripada perkembangan seluruh pihak, akhirnya pelaksanaan perundangan Islam mula berlaku sedikit demi sedikit dan berkembang yang akhirnya menatijahkan sebahagian  masyarakat memahami tentang kepentingannya.

“Allah SWT telah mengurniakan kepada kita syariat Islam yang bukan merupakan sejarah yang terdahulu. Tetapi ia merupakan suatu perundangan yang realistik yang ada hubungan jiwa dengan manusia,yang ada hubungan dengan sistem kehidupan manusia,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau yakin perundangan Islam yang lengkap tidak memberi apa-apa kesan buruk kepada mana-mana golongan dan bangsa.

Bahkan katanya, ia tidak memberi kesan yang buruk kepada ekonomi dan kehidupan tetapi ianya memberi kesan yang baik kepada seluruh masyarakat Islam.

Justeru, beliau yakin dan percaya dengan penganjuran Muzakarah tersebut dapat menghidupakan budaya kehidupan rakyat ke arah melahirkan Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera.

“Atas dua asas iaitu yang pertama iman dan yang kedua takwa. Oleh sebab itu, ia akan dapat memberi input dan dapat menjayakan program ini,” tegasnya.

Beliau juga berharap kerjasama berterusan di antara kerajaan negeri dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) dapat diteruskan untuk mencapai objektif pelaksanaan syariah di negeri ini.





Tag: