• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Bersatu Tangani Cacian Pada Islam - Abdul Hadi

Abdul Hadi Awang.
MARANG, 6 Mei - Seluruh rakyat Terengganu digesa melupakan segala perbezaan dan bersatu menangani cacian terhadap Islam demi kesejahteraan masyarakat.

Ahli Parlimen Marang, Dato' Seri Abdul Hadi Awang berkata, sikap sesetengah umat Islam yang tidak peduli dan bertelagah sesama sendiri menyebabkan kuasa politik umat Islam semakin terhakis.

Jelasnya, keadaan itu menyebabkan kesucian agama Islam sering terhakis dan dipijak oleh musuh yang memperlihatkan rakyat hidup dalam suasana yang tidak harmoni.

"Tidak sedar betapa kita berada dalam keadaan yang sangat bahaya dalam bahtera Malaysia ini, kita tengok sendiri beraninya orang bukan Islam bercakap menentang dan menghina Islam.

"Ini berlaku kerana kuasa politik (pemerintahan) orang Islam lemah disebabkan ramai orang menganggap politik tidak penting (sama sahaja siapa yang memerintah).

"Kita juga mesti berhenti bergaduh, kalau kita bergaduh lagi, ia akan menghancurkan kita semua seperti di negara Islam lain," ujar beliau.
Mohd Nor Hamzah.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Karnival Bukit Payong Sejahtera di Tapak Pasar Kedai Buluh, di sini baru-baru ini (2 Mei).

Hadir sama, mantan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Idris Ahmad serta Ahli Jawatankuasa (AJK) Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payong.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah yang turut hadir berkata, hubungan sesama rakyat yang berbeza latar belakang dan ideologi politik mestilah dieratkan kembali.

Jelasnya, masyarakat yang sejahtera sememangnya menjadi fokus utama kerajaan dengan memperbaiki segala kerosakan yang mungkin berlaku sebelum ini.

"Saya sebut kepada semua orang PAS, orang UMNO dan orang atas pagar, supaya kita perbaiki hubungan sesama kita walau apa jua sentimen politik.

"Untuk kita kembali di atas iman dan islah dalam negeri kita ini, kita baiki masyarakat kita dengan Islam, ini tanggungjawab kita bersama," tambah beliau








Tag: