lightning-solid
Berita :
BERSATU Terengganu Tegas Sokong Dr. Sam Terajui PN Negeri
BERSATU Terengganu Tegas Sokong Dr. Sam Terajui PN Negeri
Hafiz Rosli
10 jam yang lepas
106

KUALA TERENGGANU, 31 Disember – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Terengganu menegaskan sokongan penuh kepada Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar untuk terus menerajui Perikatan Nasional (PN) negeri, sekali gus menafikan dakwaan wujud kemelut dalaman dalam gabungan itu.

Ketua Badan Pimpinan BERSATU Terengganu, Datuk Razali Idris berkata, kepimpinan PN di peringkat negeri kekal stabil dan utuh di bawah pimpinan Menteri Besar Terengganu itu.

Menurutnya, peletakan jawatan beberapa pemimpin utama PN di peringkat pusat, termasuk Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi PN, tidak memberi kesan kepada struktur dan hubungan kepimpinan PN di Terengganu.

“Pengerusi PN Terengganu adalah Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan beliau kekal menerajui gabungan ini. 

"BERSATU Terengganu memberikan sokongan penuh kepada beliau,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Razali menegaskan, PN Terengganu tidak terbabit dengan sebarang kemelut kepimpinan dan hubungan antara PAS serta BERSATU di negeri ini kekal kukuh dan harmoni.

“Tiada kemelut pimpinan antara BERSATU dan PAS di Terengganu. PN negeri masih stabil dan bergerak seiring di bawah kepimpinan Dr Ahmad Samsuri,” jelasnya.

Mengulas peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa Khamis ini, Razali berkata tindakan itu tidak menjejaskan peranan Muhyiddin sebagai Presiden BERSATU.

Beliau turut menyatakan harapan agar Muhyiddin terus kekal menerajui BERSATU demi memperkukuhkan parti itu di peringkat nasional.

“Kami berharap Tan Sri Muhyiddin terus memimpin BERSATU walaupun tidak memegang sebarang jawatan dalam gabungan PN,” katanya.

Terdahulu, beberapa pemimpin utama PN termasuk Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Datuk Seri Faizal Azumu, Datuk Dr Sahruddin Jamal dan Mohamad Hanifah Abu Baker turut mengumumkan peletakan jawatan sebagai pengerusi PN negeri masing-masing.

Namun, Razali menegaskan perkembangan itu tidak memberi kesan kepada kestabilan politik di Terengganu, malah PN negeri akan terus memberi fokus kepada agenda pentadbiran dan kebajikan rakyat di bawah kepimpinan Dr Ahmad Samsuri.


Tag :

Artikel Berkaitan