Berita :
BESS Santong Diiktiraf Storan Bateri Terbesar Asia Tenggara
BESS Santong Diiktiraf Storan Bateri Terbesar Asia Tenggara
Rohayati Ripin
1 hari yang lepas
20

Oleh : Mariah Abdullah 

KUALA TERENGGANU, 3 Jun -  Terengganu melakar sejarah baharu dalam sektor tenaga boleh diperbaharui apabila menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi pelaksanaan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) di Santong, Paka.

Kemudahan di Santong itu diiktiraf sebagai storan bateri terbesar di Asia Tenggara, yang berfungsi sebagai sistem sokongan bagi menyimpan tenaga yang dijana daripada projek solar terapung berkapasiti 600 megawatt (MW) di Tasik Kenyir.

Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau Negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman, berkata pencapaian itu membuktikan Terengganu kini berada di landasan tepat untuk muncul sebagai hab tenaga hijau utama di Malaysia.

Katanya, peristiwa bersejarah itu dizahirkan menerusi majlis pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara anak syarikat pelaburan kerajaan negeri, Terengganu Incorporated (Terengganu Inc) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

"Fasa pembinaan fizikal bagi projek solar terapung terbesar ini dijangka bermula dalam masa terdekat, sekitar bulan Jun atau Julai ini.

"Pelantikan syarikat Cypark dan Sunview juga telah dibuat bagi fasa pelaksanaan Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan dan Pentauliahan (EPCC)," katanya dalam media sosialnya, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Nurkhuzaini menegaskan, kerajaan negeri memberikan komitmen penuh bagi memastikan kelancaran kedua-dua projek mega yang saling berkaitan berkenaan.

"Usaha ini bukan sahaja bertujuan memelihara kelestarian alam sekitar dan memacu agenda ekonomi baharu negeri, malah menjadi pelaburan jangka panjang bagi menjamin masa depan tenaga hijau yang mampan buat Terengganu serta negara secara amnya," katanya.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan