• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Besut Bakal Dibangunkan Setara Daerah Lain

BESUT, 12 Mei - Kerajaan negeri komited membangunkan sebuah kawasan industri bagi mewujudkan peluang pekerjaan khusus untuk rakyat di daerah ini.

Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, selama ini pihaknya mengambil maklum mengenai suara hati anak Besut termasuk yang berada di perantauan untuk melihat Besut pesat membangun serta wujudnya peluang pekerjaan.

"Saya hendak beri komitmen kepada semua rakyat Besut, penggal kedua nanti kita (PAS) mentadbir Negeri Terengganu kita akan naikkan penggunaan tanah peratus daripada 0.2 peratus (keluasan Besut 10 peratus daripada keseluruhan negeri Terengganu) sekurang-kurangnya setara dengan Daerah Dungun 0.3 peratus.

"Bunyi sedikit naik 0.1 peratus (tetapi) lening (sekarang ini) kita lebih rendah daripada daerah lain, (kerana itu) kita akan buat pelbagai perkara kita akan bincang dengan agensi di peringkat Persekutuan untuk membolehkan pembukaan tanah Industri," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap ketika Perasmian Program Himpunan Teguh Pertahan Kawasan Besut, di Dataran Jerteh, di sini, semalam.

Mengulas lebih lanjut, Ahmad Samsuri berkata, tidak mustahil untuk dibangunkan Industri kecil dan Sederhana di daerah ini kerana laluan ECRL terdekat akan siap.

"ECRL di Terengganu ini sudah mencapai kemajuan 62 peratus lebih cepat berbanding negeri lain kerana kita begitu cakna dan sangat cekap menguruskannya.

"Yang kedua dengan adanya Lebuhraya Pantai Timut (LPT) 3 fasa pertama yang menghubungkan Gemuroh sehingga Tok Bali sejauh 90 Kilometer (KM) yang telah mencapai persetujuan dengan Kerajaan Persekutuan (untuk disiapkan segera) .

"Ini akan dilaksanakan dengan lebih mendalam dengan pihak Kerajaan Persekutuan dimana pembinaan ECRL (dan LPT 3) ini akan memudahkan perancangan bagi membangunkan kawasan Industri di Besut ini yang akan membukan peluang pekerjaan," katanya.

Justeru tegasnya, penting untuk Kerajaan yang ditadbir oleh PAS dipertahankan oleh rakyat dan dikurniakan mandat bagi meneruskan segala agenda yang telah dirancang yang terbukti pada penggal lalu dapat menunaikan 20 manifesto yang dijanjikan.

"Kalau diserahkan kuasa kepada orang (parti) lain berjanji macam-macam tapi tak boleh hendak buat, (jadi)sudah tentulah hendak  diberikan kepada orang yang boleh berjanji berjanji dan buat kerja," katanya.