• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Bilik Sejuk Beku Beri Manfaat Kepada 150 Nelayan

Foto Oleh: Hidayah Azlin

KUALA TERENGGANU, 13 Januari - Bilik sejuk beku di Jeti Nelayan Kampung Batin, Seberang Takir di sini bakal memberi manfaat kepada 150 nelayan di sekitar kawasan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, pembinaan kemudahan infrastruktur nelayan berharga RM165,000 itu dimulakan Ogos tahun lalu dan kini siap dalam tempoh sekitar tiga bulan.

“Peti sejuk beku ini mampu menyimpan kira-kira lima metrik tan ikan dan hasil laut dalam satu-satu masa dengan suhu penyejukkan sekitar -20 darjah celsius.

“Kita harapkan infrastruktur yang ada ini boleh menyelesaikan masalah dari segi penyimpanan stok hasil laut samada ikan atau hasil laut lain terutamanya pada musim tangkapan melimpah atau berkurangan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Bilik Sejuk Beku Persatuan Nelayan Kawasan Kuala Terengganu Utara di Kampung Batin, Seberang Takir, hari ini.

Dr. Azman berkata, beliau mengharapkan kemudahan itu dapat dimanfaatkan oleh para nelayan dengan sebaiknya.

“Dari segi pengurusan, pihak Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Negeri Terengganu akan menyerahkannya kepada Persatuan Nelayan Kawasan Terengganu Utara.

Katanya, kerajaan negeri menyasarkan untuk membina bilik sejuk beku di semua jeti pelabuhan dan perikanan di negeri ini secara berperingkat.

“Untuk tahun ini, kita sasarkan dapat bina paling kurang dua atau tiga unit termasuk di Setiu dan tempat-tempat lain,” ujarnya.