• 18 Apr 2024 | 9 Syawal 1445

Boleh Doh Candat Sotong Di Terengganu

KUALA TERENGGANU, 12 Jun - Kerajaan Terengganu secara rasminya membuka kembali program mencandat sotong bagi penggemar aktiviti tersebut di kalangan orang awam.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman memaklumkan, kerajaan negeri telah menyediakan prosedur operasi standard (SOP) lengkap sebagai panduan mencandat sotong sesuai ketetapan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Kita hendak buktikan kepada rakyat Malaysia bahawa program ini tiada masalah diadakan pada musim Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini.

“Kami telah menyediakan SOP yang memang sangat ketat, seperti menyediakan penanda merah bagi menentukan jarak yang sepatutnya. Kemudian kita ada pencuci tangan, pemeriksaan suhu dan kita memastikan bahawa setiap bot mesti dan wajib mengikutinya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan Demonstrasi Garis Panduan Aktivit Mencandat Sotong di Jeti Duyong & Marina Resort, di sini semalam.

Tambahnya, sebuah bot mencandat yang biasanya memuatkan 10 hingga 15 penumpang akan dikurangkan kepada sekitar tujuh hingga lapan penumpang sahaja bagi mengekalkan pematuhan SOP.

Namun, menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alur Limbat itu, harga bagi menyertai aktiviti itu dijangka tidak akan meningkat.  

“Perkara ini memang diakui oleh pihak pengusaha sendiri, sebagai contoh bot, kalau dulu mereka bagi sewa RM1,500 satu malam, memang mereka pun mengakui tak boleh mengenakan kos sebegitu lagi dengan kapasiti penumpang kurang hampir separuh berbanding dulu.

“Mereka kena fikir suasana baharu di mana sektor pelancongan amat terkesan dan menyediakan kaedah sepatutnya,” katanya.

Jelasnya, isu yang paling utama mengakibatkan kos tinggi sebelum ini ialah minyak dan dengan pengurangan harga petrol kini, kosnya tidak akan tinggi.

Ariffin juga menyatakan keyakinan bahawa industri pelancongan negeri itu akan kembali pulih secara perlahan-lahan.

“Sebab dahulu fokus utama ‘mainland’ tanah besar untuk pelancong tempatan manakala pulau lebih kepada pelancong luar negara.

“Sekarang kita fokus pelancong tempatan sebab itu kita yakin dengan pembukaan balik sempadan antara negeri ini kembali merancakkan pelancongan Terengganu.

“Bahkan pengusaha di pulau-pulau telah mengubah strategi mereka dengan fokus kepada pelancong tempatan antaranya dengan mengurangkan harga bilik dan pakej menarik,” tambah beliau.