• 19 Mei 2024 | 11 Zulkaedah 1445

Bomba Iktiraf Pemanggil Pertama KBC Terbakar

Nurul Najihah 

Seorang wanita tidak menyangka akan diberikan penghargaan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) apabila menjadi pemanggil pertama bagi melaporkan kejadian kebakaran tangki minyak mentah Kemaman Bitumen Company (KBC) Sdn Bhd, di kawasan perindustrian Teluk Kalong, pada 5 Julai lalu.

Nurul Najihah Abu Bakar, 22, yang bertugas sebagai seorang pembantu tadbir perolehan sebuah kilang berkata, tindakan yang dibuat pada hari kejadian itu adalah merupakan tanggungjawabnya sebagai orang awam.

Menurutnya, pada hari insiden berkenaan, dia berada di rumah emak saudaranya yang terletak tidak jauh dari kilang tersebut dan menyedari kebakaran itu berlaku kira-kira pukul 6.15 petang  (5 Julai)  selepas mendengar bunyi dentuman kuat dan rumah ibu saudaranya turut bergegar.

"Ketika dengar dentuman dan rumah bergegar saya baru sampai di rumah ibu saudara di Bukit Kuang dan lepas gegaran itu saya segera keluar ke pintu dan tengok kepulan asap hitam naik ke udara," katanya.

Nurul Najihah ketika menerima sijil penghargaan daripada Datuk Soiman Jahid

 Tambahnya,  selepas melihat asap tersebut dia terus menaiki motosikalnya sambil  menghubungi talian 999 dan bercakap dengan operator yang bertugas bagi memaklumkan mengenai insiden itu.

"Sambil menaiki motosikal saya memberitahu kepada operator berkenaan kejadian tersebut dan setibanya di kilang itu, memang benar ianya terbakar" katanya lagi.

Nurul Najihah ditemui selepas menerima sijil penghargaan berkenaan yang disampaikan sendiri Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM, Datuk Soiman Jahid pada Majlis Penganugerahan Sijil Penghargaan Sempena Operasi Pemamadaman Kebakaran di KBC di Balai Bomba dan Penyelamat Kijal, Kemaman, hari ini.

Menurutnya, dia segera bertindak menghubungi talian kecemasan kerana pernah melalui pengalaman berdepan situasi cemas seperti itu apabila kereta meletup dari arah belakang rumahnya beberapa bulan lalu.

"Lepas kejadian letupan kereta itu, abah pesan supaya hati-hati dan cepat bertindak hubungi talian kecemasan kalau lihat kes-kes kecemasan jadi itulah yang saya buat, apabila lihat tangki minyak mentah terbakar ini," katanya.

Katanya, pengiktirafan yang diterima itu menyuntik semangatnya untuk terus membantu masyarakat pada masa akan datang.

Dia turut berterima kasih dengan pihak JBPM yang menghargai sumbangan kecilnya yang hanya melaksanakan tanggungjawab sebagai penduduk.







Tag: