• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Bot Penambang Berkonsepkan Realiti Maya Diperkenalkan Awal Tahun Depan

KUALA TERENGGANU, 11 November - Kerajaan negeri melalui Jabatan Pelancongan bakal menambahbaik perkhidmatan bot penambang antaranya mengadakan pendekatan realiti maya (VR), bermula tahun depan

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Negeri, Ariffin Deraman berkata inisiatif terbaharu itu akan mempersembahkan kepada pelancong, satu pengangkutan tradisi tetapi berkonsepkan VR di Terengganu.

"Perkhidmatan bot penambang yang makin dipinggirkan malah kurang mendapat perhatian pelancong akan menikmati pengalaman baharu menyusuri Sungai Terengganu dengan kemudahan VR yang lebih menyeronokkan.

“VR  membolehkan penggguna merasai pengalaman menyaksikan video tiga dimensi (3D) lokasi tarikan pelancongan di Terengganu sewaktu berada di dalam bot penambang,” ujarnya.

Beliau berkata demikian di sidang media selepas Majlis Sumbangan Kepada Agen Promosi Pelancongan (Beca dan Bot Penambang) di Event Space, TD1303, di sini hari ini.

Tambah Ariffin, pihaknya juga akan memperkenalkan beca berkuasa solar kepada lima pengayuh terpilih sebagai nilai tambah kepada perkhidmatan tersebut pada awal tahun hadapan.

“Ciptaan tersebut mendapat kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi mudah diselenggara serta dikendalikan dan masih beridentitikan tradisional Terengganu.

"Kita juga merancang laluan baharu beca di tempat tumpuan ramai termasuk di jambatan angkat dan Kampung Budaya,"ujar beliau lagi.

Dalam masa yang sama, Ariffin berkata penetapan harga standard bagi setiap laluan beca kini diperingkat perbincangan dalam usaha menambah pendapatan pengayuh-pengayuh beca di sekitar Kuala Terengganu.