Oleh : Nurul Natasha Surin
KUALA NERUS, 13 Julai - Tradisi memasak bubur Asyura terus menyemarakkan semangat kebersamaan apabila Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Tepuh menganjurkan program gotong-royong yang menghimpunkan pelbagai lapisan sukarelawan sebelum mengagihkan lebih 900 bekas bubur Asyura kepada penduduk sekitar, semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim berkata, program itu menjadi platform mengeratkan ukhuwah serta memupuk budaya saling membantu dalam kalangan masyarakat.
Menurut beliau, seawal jam 8 pagi lagi Ahli Jawatankuasa (AJK) daripada empat zon, Lajnah Kebajikan Dun Tepuh, Penyelaras Pemuda PAS DUN Tepuh serta AJK PKM DUN Tepuh telah bergotong-royong menyiapkan bubur Asyura.

Sekitar tengah hari, lebih 900 bekas bubur Asyura telah diagihkan kepada orang ramai di hadapan PKM DUN Tepuh dan di beberapa lokasi sekitar kawasan DUN berkenaan melalui AJK yang terlibat.
"Saya berharap perkongsian juadah tradisi ini dapat membawa kegembiraan kepada masyarakat, di samping terus mengeratkan hubungan silaturahim dan memupuk semangat kejiranan dalam kalangan kita.
"Saya juga ingin memohon maaf sekiranya berlaku sedikit kesesakan atau kesulitan sepanjang proses pengagihan berlangsung serta merakamkan penghargaan atas kesabaran dan kerjasama yang diberikan oleh semua pihak," ujarnya.
