• 30 Nov 2020 | 14 Rabiul Akhir 1442

Bukan Biasa-Biasa, 10 '4X4' Berjaya Tawan Bukit Besar

KUALA TERENGGANU, 26 Oktober – Sukar untuk dibayangi apabila mendengar 10 buah kenderaan pacuan empat roda (4x4) berjaya meredah hujan, laluan trek hutan berbonggol dan berlumpur dalam menawan Bukit Besar.

Namun begitu, sekumpulan belia daripada Kelab Kole Ganu Crawler (KGC), berusia lingkungan 20-an hingga 30-an, menempuh cabaran bersama jentera RC Crawler (4x4) kawalan jauh dikuasai bateri dan berskala 1/10, 10 kali lebih kecil berbanding kenderaan sebenar.

Jangan terpedaya dengan saiz kecil kerana ‘Crawler’ tersebut mampu mendaki bukit dengan darjah kecerunan sehingga 70 darjah, memerlukan kemahiran pengendalian yang tinggi.

Wakil KGC, Hadi Syafiq, 33, berkata, aktiviti tersebut bukan sekadar hobi, malah ia gabungan cabaran mengendali jentera melalui selok-belok bukit belukar bersama riadah ‘hiking’, kepuasan hobi bersama nilai kesihatan.

“Contohnya seperti hari ini kita telah sampai ke puncak Bukit Besar (ketinggian 800 meter dari aras laut). Lokasi berbukit ini adalah diantara kawasan paling mencabar dari segi kecerunan bukit dan halangan semulajadi,” katanya ketika ditemubual pemberita baru-baru ini

Seiras dengan model berjenama seperti Range Rover, Land Rover dan Ford Bronco, Saiz kecil kenderaan kawalan jauh itu tidak bermakna harganya juga kecil. Meneliti bersama pemiliknya tentang harga gabungan 10 jentera tersebut, dianggarkan sehingga RM15,000.

Mengulas lanjut mengenai ‘kenderaannya’, Hadi berkata, model Ford Bronco skala 1/10 dibeli ‘second-hand’ dengan harga RM2,200 daripada harga pasaran asal iaitu RM2,600.

“Kami juga ubah suai dengan alat ganti lain seperti tayar, replica peralatan perkhemahan dan lain-lain lagi. Aktiviti jual dan beli aksesori lain juga bersama peminat lain dari semasa ke semasa ada," katanya lagi.

Menyentuh tentang kit permulaan bagi yang mahu berjinak,“Hobi ini juga ada kategori ekonomi seperti jenama RGT, harga dalam linkungan RM1,000 dan jika yang terpakai harganya kurang lagi daripada Shopee dan penjual di Kuala Lumpur.

“Harga berbaloi dengan kualiti kerana tahan lasak dan penyelenggaran tidak perlu kerap.

Hadi yang juga seorang peniaga ‘bundle’, turut menyatakan hasrat kelab dalam mengumpul ahli baharu.

“Kita suka apabila ada yang mahu sertai sekali hiking bersama jentera masing-masing. Kelab kami biasanya beraksi pada hari cuti waktu tengah hari lepas zuhur (1.30 petang) di Bukit Besar dan bermain santai di kawasan landai yang berbatu seperti di Batu Buruk dan Bukit Payung.

“Manakala mereka yang mahu lebih ‘hardcore’ dengan laluan berbatu di Bukit Tepu pada hari ahad atau selasa waktu petang lepas asar," ujarnya.

Ketahui lebih lanjut mengenai aksi lasak mereka dan lain-lain di Kumpulan Facebook, ‘Kole Ganu Crawler (KGC)’.