• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Bukit Batu Kapal Simpan Mitos Sejarah, Bakal Jadi Tarikan





Bukit Batu Kapal yang terletak di Kampung Gerdong,Telemong kaya dengan khazanah alam semulajadi dan mitos sejarah yang mampu menjadi  tarikan baru pelancongan di Terengganu dan Hulu Terengganu, khasnya.

Pengarah Tourism Malaysia Terengganu, Zaliha Zainuddin  berkata, pihaknya sedang giat mempromosikan tempat menarik di Terengganu melalui Cuti-Cuti 1Malaysia ( CC1M) Dekat Je untuk memperkenalkan produk baru pelancongan yang unik dan menarik.

Katanya, Tourism Malaysia Terengganu akan mencadangkan kepada agen pelancongan supaya memasukkan Bukit Batu Kapal sebagai satu destinasi persinggahan dalam pakej yang mereka sediakan nanti.

"Saya melihat Bukit Batu kapal ini mempunyai potensi untuk dipromosikan di peringkat domestik sebagai produk baru pelancongan di negeri Terengganu melalui tarikan alam sekitar yang ada.

"Tidak mustahil ianya juga boleh dipromosikan sehingga peringkat antarabangsa setelah diluluskan sebagai destinasi hutan lipur terbaru dan kita akan mendapatkan peruntukan bagi membangunkan kemudahan bagi tujuan promosi,"katanya ketika dihubungi Teganukita/The Iman Tribune.




Bukit Batu Kapal terletak kira-kira 30 kilometer dari bandar Kuala Berang  berada pada ketinggian kira-kira 500 kaki dari paras laut dan mengambil masa 45 minit untuk tiba.

Ketulan batu sepanjang kira-kira 21 meter dan setinggi 4.5 meter itu mirip tinggalan sebuah kapal dagang besar.

Menurut mitos penduduk setempat, kapal tersebut merupakan sebuah kapal besar milik pedagang dari Negara Cina yang terkandas ratusan tahun yang lalu ketika Terengganu dilanda banjir besar, menyebabkan daratan Terengganu tenggelam  termasuk bukit-bukit.

Pada masa itulah kapal dagang tersebut telah melalui kawasan ini dan berhenti di situ tanpa disedari bahawa tempat mereka berhenti itu adalah daratan.

Pada keesokkannya apabila banjir mula surut, kapal dagang tersebut tidak boleh berlayar akibat tersekat pada daratan sehinggalah bertukar menjadi batu.


Pada dasarnya kawasan batu kapal sangat sesuai untuk dibuat kawasan perkelahan, kerana di kawasan tersebut mengalir sebatang sungai yang sangat jernih airnya.

Manakala  di bahagian atasnya pula,terdapat air terjun yang sangat cantik dan belum terjejas dengan  aktiviti manusia.

Landskap sekitar air terjun tersebut seakan terjaga rapi dan  persekitaran pula sangat bersih tanpa sebarang pencemaran.

Tag: