• 19 Mei 2024 | 11 Zulkaedah 1445

Cadang Bina Pusat Aktiviti Warga Emas


Kerajaan negeri merancang membina pusat aktiviti untuk warga emas bagi membolehkan golongan itu menjalankan aktiviti sosial dan riadah bersama ahli masyarakat, dalam masa terdekat.

Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman berkata, inisiatif yang akan dilaksanakan menerusi Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Terengganu itu bakal dibangunkan di Kampung Teluk Ketapang, Kuala Nerus sebagai perintis, sebelum dilaksanakan di daerah lain.

“Kerajaan negeri akan mengenalpasti sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang boleh menaja pembinaan pusat (bangunan) berkenaan.

“Ini adalah sebagai tanggungjawab sosial korporat kita kerana jasa dan pengorbanan warga emas tidak boleh dipertikaikan dan disebabkan perjuangan merekalah kita dapat hidup dalam suasana aman dan harmoni seperti sekarang,” ujarnya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perhimpunan Warga Emas Dun Seberang Takir di Dewan Serbaguna Sekolah Menengah Kebangsaan Kompleks Seberang Takir, Kuala Nerus, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Terengganu Mohd Shafaruddin Mustaffa dan Pengerusi Jawatankuasa Kelab Warga Emas DUN Seberang Takir, Wahab Ismail.

Menurut Ahmad Razif, pelbagai kemudahan akan dibina di pusat aktiviti untuk warga emas itu nanti seperti surau, perpustakaan, tempat bersukan, pusat refleksiologi dan sebagainya yang sesuai untuk dimanfaatkan oleh golongan seusia mereka.

Katanya, jasa dan pengorbanan golongan ini (warga emas) perlu diberi pengiktirafan termasuk menyediakan segala kemudahan yang diperlukan mereka.

Tag: