• 14 Okt 2024 | 11 Rabiul Akhir 1446

Cadang Utamakan Vaksin Kepada Pemain Industri Pelancongan

HULU TERENGGANU, 15 Jun – Kerajaan negeri melalui Jabatan Pelancongan Negeri (Tourism Terengganu) sedang dalam usaha bagi memberi keutamaan vaksin COVID-19 kepada para penggiat industri tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, perbincangan sedang berjalan dengan agensi pelancongan bagi menyusun maklumat tentang angka sebenar pemain pelancongan yang akan didahulukan.

Katanya, jika pemberian vaksin dilaksanakan dan aktiviti pelancongan dibenarkan, orang ramai akan berasa selamat apabila melancong.

“Semalam kita sudah ada pertemuan dengan 76 orang pengayuh beca dan pemandu bot penambang di Kuala Terengganu dan Seberang Takir untuk proses seterusnya.

“Cadangan saya mungkin akan dimasukkan dalam fasa kedua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

“Antara golongan yang dicadangkan seperti pengayuh beca tiga tayar, pemandu ‘houseboat’ Tasik Kenyir, pemandu teksi, pengusaha pulau dan lain-lain lagi,” katanya ketika ditemubual pemberita, pagi tadi.

Beliau berkata demikian selepas menyantuni petugas barisan hadapan dan penerima vaksin di Pusat Penerimaan Vaksin (PPV) Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu, Kuala Berang.

Hadir sama, Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Ahmad Azizi Zulkifli, Pengarah Pelancongan negeri, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim dan penyelaras PPV Kuala Berang, Zuraidah Embong

Dalam program tersebut, Ariffin bersama Tourism Terengganu, Persatuan Hotel Terengganu (MAH) dan Pejabat Daerah Hulu Terengganu turut menyantuni dam memberi penghargaan di sini kepada 297 penerima vaksin dan 45 orang ‘frontliners’.

“Siri jelajah ketiga ini sedang dilaksanakan di seluruh negeri dengan Dungun sebagai destinasi seterusnya.

“Sumbangan makanan disediakan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) dan minuman MyCoklat adalah sebagai tanda sokongan kepada petugas di sini dan sokongan terhadap PICK," jelasnya.