• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Cahaya Pelita Sinari Bumi Darul Iman

KUALA NERUS, 27 Mei - Bumi Darul Iman diterangi cahaya ratusan pelita sempena Pertandingan Pelita Raya Online Beautiful Terengganu : PKP Raya Style 2020 yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM8,000.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, pertandingan yang bermula 18 Mei dan berakhir semalam itu menyaksikan setiap kampung terlibat membina replika atau monumen menggunakan lampu pelita mengikut kreativiti masing-masing.

“Pertandingan tahun ini sangat berbeza dengan tahun-tahun lepas namun kemeriahannya tetap sama walaupun pengunjung tidak boleh datang beramai-ramai untuk menyaksikan keindahan pelita raya.

“Kita buat dalam bentuk sederhana tetapi tetap menonjolkan kemeriahan Syawal.

“Semua ini hasil penat lelah semua 60 pemilik rumah yang menjayakan pertandingan ini,” katanya kepada media selepas melakukan lawatan ke lokasi pertandingan Pelita Raya semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata pada tahun sebelumnya pertandingan itu diadakan di satu Dewan Undangan Negeri dan secara terbuka.

“Manakala tahun ini juga dibuat terbuka tetapi tidak dikhususkan kepada satu tempat sahaja.

“Dan dibahagikan kepada dua kategori iaitu foto dan video, ia akan dinilai melalui lawatan para penilai ke kawasan pelita atau di laman sosial seperti Facebook

“Semua ini adalah demi mengekalkan kemeriahan Aidilfitri,” tambah beliau.