• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Cara Dakwah Perlu Seiring Perkembangan Semasa


KUALA TERENGGANU, 1 September - Usaha dakwah  memerlukan ilmu, pendekatan yang lebih terkesan dan paling penting tanamkan keikhlasan dalam diri setiap individu agar ia menjadi wahana dalam penyemarakkan usaha dakwah secara keseluruhannya.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata ramai orang boleh berkata-kata tapi hanya sedikit yang boleh turun ke lapangan untuk berdakwah kepada pelbagai golongan masyarakat.

“Ramai sasaran dakwah  pada hari ini terdiri dari  pelbagai golongan masyarakat dan sememangnya sangat sulit untuk sampai kepada mereka malah memerlukan cara berbagai bagai dalam menyampaikannya.

“Ia juga sangat sukar pada masa sekarang untuk temui orang yang sanggup turun ke bawah untuk menyampaikan dakwah tersebut,”ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Semarak Dakwah 2020  ' Islam Itu Indah ' Negeri Terengganu Sempena Ambang Merdeka di Pantai Batu Buruk, di sini semalam.

Turut hadir, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim, Pengarah YADIM Terengganu, Mahadi Awang dan Pengarah Akademi DUAT ,Ramlan Mahmood. 

Mohd Nor juga berkata ummah yang paling baik adalah mereka yang mengerjakan kerja dakwah yang mudah disebut tapi sukar untuk dilaksanakan.

“Walaupun Islam itu indah, ia tidak akan sampai ke manusia jika tiada orang bersedia mengikut sunnah Nabi SAW untuk menyampaikan agama ini.

“Maka pendakwah mainkan peranan penting dalam menyampaikan dakwah terutamanya menyantuni generasi muda dengan kaedah komunikasi yang santai dan berkesan,”katanya.